SIBU: Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS) Kaunselor Clarence Ting Ing Horh turun padang bagi memantau sendiri projek saliran perparitan di beberapa kawasan penempatan sekitar bandar ini.

Katanya, projek itu amat penting bagi menyelesaikan masalah banjir kilat yang sering berlaku di bandar ini disebabkan masalah perparitan.

“Masalah banjir kilat yang disebabkan hujan lebat berpunca daripada sistem perparitan yang kurang sempurna.

“Justeru, MPS terus melaksanakan projek sistem perparitan sebagai agenda utama kami bagi menyelesaikan masalah banjir di sini.

“Walaupun sudah mempunyai beberapa fasa projek tebatan banjir namun sekiranya sistem perparitan tidak sempurna, ia tidak akan dapat mengepam air keluar,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan pemeriksaan serta tinjauan ke projek tersebut di Jalan Langsat di sini, semalam.

Beliau memberitahu, penyumbang utama banjir kilat di sini berpunca sistem perparitan yang tidak sempurna.

Katanya, air susah mengalir keluar akibat parit yang tersumbat ditambah dengan sikap sesetengah penduduk Sibu yang suka membuang sampah ke dalam longkang.

“Untuk menanganinya, MPS menyediakan paip atau saluran lebih besar bagi memudahkan air keluar serta mempunyai ruang cukup supaya air dapat mengalir dengan baik.

“Namun kita terus memantau penduduk supaya tidak lagi membuang sampah ke dalam longkang.

Buangkan sikap tidak bertanggungjawab itu.

“Kita akan berbincang pada mesyuarat bulanan MPS hujung bulan ini bagi mencari jalan penyelesaian sama ada mengenakan kompaun atau sebaliknya,” ujarnya.

Ting berkata, jalan di situ terpaksa ditutup sebahagian untuk lalu lintas hingga kerja penyaliran dapat dilakukan.

“Saya ada berbincang dengan pihak kontraktor, mereka akui agak sukar tetapi tetap berusaha menyiapnya tepat pada waktu. “Mereka sudah meletakkan paip. Saya harap air di rumah penduduk di situ akan mengalir dengan lebih baik dan sempurna ke saliran utama berdekatan,” tegasnya lagi.

Beliau akan memeriksa semua projek terlibat dari semasa ke semasa agar kerja berjalan dengan lancar.

“Semua projek ini untuk penduduk Sibu selain menyelesaikan masalah banjir yang selama ini menjadi isu utama.

“Saya akan menggerakkan kakitangan MPS untuk memantau perkembangan bagi menjamin projek yang meningkatkan kesejahteraan penduduk Sibu siap ikut jadual,” kata Ting lagi.