SIBU: Dua pemimpin Supp semalam mengadakan dialog dengan JKKK Kampung Usahajaya Baru Sentosa serta ahli jawatankuasanya bagi membincangkan isu tempatan di kawasan berkenaan.

Kedua-duanya ialah Pengerusi Supp Cawangan Bukit Assek Datuk Chieng Buong Toon dan Pengerusi Supp Cawangan Dudong Kaunselor Wong Ching Yong.

Pengerusi JKKK Kampung Usaha Baru Sentosa Mohd Ali Serani juga mengutarakan isu banjir yang sering melanda kampung berkenaan. Isu itu menarik perhatian serius kedua-dua pemimpin Supp tersebut.

Isu paling serius yang dibincangkan sejak kebelakangan ini apabila Kampung Usahajaya Baru Sentosa sering mengalami banjir kilat.

Sebulan lalu, penduduk kampung itu mengalami banjir paling teruk berbanding tahun lepas disebabkan gabungan faktor meteorologi seperti hujan lebat, air pasang besar Sungai Rejang dan pelepasan air dari Empangan Bakun yang semuanya berlaku secara serentak dalam minggu sama.

Ini menyebabkan kehidupan harian penduduk kampung terjejas Sentosa.

Setelah mendengar rintihan Ali itu, Chieng dan Wong bersetuju untuk mengadakan tinjauan bersama-sama MPS dan JPS Bahagian Sibu bagi mengenal pasti kawasan di Kampung Usahajaya Baru, Sentosa yang memerlukan tindakan segera.

Susulan itu Chieng menjelaskan, Kerajaan Sarawak meluluskan rancangan tebatan banjir bernilai RM25 juta untuk menyelesaikan masalah banjir di Kampung Usahajaya Baru, Sentosa.

Sesi dialog antara JPS Bahagian Sibu dengan penduduk kampung akan diadakan dalam masa terdekat.

Dialog ini bertujuan memberi pencerahan lebih menyeluruh mengenai projek tebatan banjir bernilai RM25 juta kepada penduduk Kampung Usahajaya Baru.