LIMBANG: Kerajaan Sarawak akan membina lebih banyak kompleks sukan mini di negeri ini pada masa akan datang. Menteri Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, setiap daerah di Sarawak perlu mempunyai kompleks sukan mini untuk melahirkan lebih ramai atlet hebat.

Ujarnya, Daerah Limbang antara kawasan yang berpotensi untuk melahirkan ramai atlet berbakat untuk menyertai negeri dan negara suatu hari nanti.

“Insya-Allah, di kawasan Limbang ia mesti sebuah kompleks sukan mini.

“Kalau dapat setiap daerah di Sarawak sekurang-kurangnya mempunyai satu kompleks sukan mini.

Ia adalah untuk kegunaan pelbagai jenis sukan,” katanya selepas merasmikan Sesi Sembang Belia Jelajah Belia Sarawak 2020 di Dewan Kampung Tanjung Riman.

Menurut Karim, setakat ini terdapat 10 buah kompleks sukan yang masih dalam pembinaan di seluruh Sarawak.

Katanya, ia akan dilakukan secara berperingkat-peringkat mengikut keperluan setiap daerah.

“Kerajaan Sarawak mahu setiap daerah di Sarawak mempunyai sebuah kompleks sukan mini.

Namun, ia tidak dapat dilaksanakan dalam tempoh serentak,” katanya.

Tambah beliau, Kerajaan Sarawak komited untuk memastikan penglibatan belia dalam pelbagai aktiviti serta program.

Oleh sebab itu ujarnya, penganjuran Program Sembang Belia Jelajah Belia Sarawak 2020 ini amat penting.

“Ia adalah antara medium yang sesuai untuk mengetahui aspirasi atau kehendak para belia melalui sesi sembang belia,” katanya.

Hadir sama Adun Batu Danau Paulus Palu Gumbang, Residen Bahagian Limbang Ahmad Denney Ahmad Fauzi, Pegawai Daerah Limbang Superi Awang Said, ketua-ketua jabatan dan ketua masyarakat dan kaum.