SPAOH: Sistem perparitan di Tanjung Sebekut di sini akan dinaik taraf dengan kos RM5 juta, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

“Projek ini akan ditender dalam masa terdekat,” katanya menjelaskan mengenai projek tersebut kepada ahli Skim Tanjung Sebukut di sini, semalam.

Hadir sama Pegawai Jabatan Pengairan dan Saliran Bahagian Betong Bartholomew Emily Ayu, Setiausaha Politik Ketua Menteri Dr Richard Rapu dan pengerusi Skim Tanjung Sebukut Abang Hendi Abang Zaini.

Selain itu, Uggah yang juga Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah berkata, kementerian juga membantu menyediakan mesin kepada pesawah padi bagi memudahkan menuai padi.

Adun Bukit Saban itu berkata, pembinaan pasar basah baharu Spaoh yang bernilai RM5 juta juga akan dibina tidak lama lagi.

“Bangunan ini akan dibina dua tingkat. Aras bawah untuk pasar basah manakala aras atas dijadikan tempat makan,” katanya.

Uggah berkata, projek yang bakal dilaksanakan itu merupakan usaha berterusan Kerajaan GPS untuk membawa kemudahan yang lebih moden ke kawasan luar bandar.