MIRI: Pasukan Mencari dan Menyelamat di Gunung dan Gua (Mocsar) Mulu melakukan pemeriksaan keselamatan di sepanjang laluan ke Puncak Pinnacle Gunung Mulu di sini selama tiga hari bermula 20 Ogos lalu.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Miri Law Poh Kiong berkata, pasukan itu meninjau dan memeriksa tahap keselamatan laluan pendaki.

Menurutnya, pasukan juga menggunakan perahu dari Ibu Pejabat Taman Negara Mulu ke Kuala Litut.

“Saya dimaklumkan pasukan terpaksa mengharungi perjalanan berliku sepanjang 5.9 kilometer dari Kuala Litut ke Kem 5.

“Operasi terpaksa dihentikan kerana hari semakin gelap,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau memberitahu, pendakian ke Puncak Pinnacle pada hari kedua bermula jam 6 pagi dan jarak perjalanan sepanjang 2.4 kilometer.

“Pasukan melakukan pemeriksaan keadaan keseluruhan tali dan skru pada semua laluan tangga pendakian.

“Setelah pemeriksaan menyeluruh dijalankan dan tahap keselamatan disahkan mengikut piawaian, pasukan Mocsar berpatah balik ke Kem 5,” jelasnya.

Tambah Poh Kiong, pada hari ketiga, pasukan melakukan pemeriksaan pada pili dan kelengkapan bomba sedia ada.

“Hasil tinjauan di kawasan puncak mendapati ada tali kurang selamat dan perlu diganti segera,” ujarnya.

Pada Julai lalu, 11 kakitangan Taman Negara Mulu dilantik secara rasmi menjadi anggota Moscar sebagai langkah penyelesaian segera terhadap sebarang insiden dan isu keselamatan di Gunung Mulu.