DARO: Gabungan Parti Sarawak (GPS) dijangka meletakkan beberapa muka baharu pada Pilihan Raya Negeri Ke-12, kata Pengerusinya Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Jelas Ketua Menteri, keputusan itu susulan beberapa calon yang berhasrat mengundur diri bagi memberi laluan kepada jiwa muda untuk turut serta dalam barisan kepemimpinan negeri.

“Salah seorangnya Adun Kalaka Datuk Abdul Wahab Aziz dari parti PBB, yang memberi laluan kepada muka baharu di kawasannya,” katanya pada Majlis Pecah Tanah Jambatan Batang Paloh, di sini kelmarin.

Presiden PBB itu menegaskan, pemimpin veteran digantikan dengan calon lebih muda bukan isu baharu kerana dalam GPS, calon baharu dilatih selama bertahun-tahun sebelum dapat memikul tanggungjawab menjadi wakil rakyat.

“Tidak mudah mentadbir negeri dengan kepelbagaian kaum dan agama seperti Sarawak. Seseorang mesti mempunyai pengalaman luas untuk melakukannya,” katanya.

Ketua Menteri menambah, beliau dan pemimpin veteran sekarang juga dipersiapkan oleh pemimpin masa lalu mengenai ilmu tadbir urus sebelum memikul amanah sebagai wakil rakyat.

“Justeru pemimpin muda hari ini jangan gelojoh dan terburu-buru menaiki tangga kepimpinan.

“Malah jangan beremosi. Jangan seperti bot, jika dipandu terlalu laju, ia akan terlanggar kayu balak dan terbalik,” katanya.