SIMUNJAN: Beberapa tempat pelancongan menarik di sini perlu diterokai dan dibangunkan bagi membantu meningkatkan ekonomi penduduk.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri berkata, banyak kawasan di sini dapat dimajukan di bawah peruntukan kerajaan.

“Walaupun ia adalah tanah persendirian, kita akan bantu untuk memajukannya jika penduduk memohon.

Kita boleh membangunkan kawasan aktiviti perkelahan berbayar. Penduduk di sini juga boleh menjual buah-buahan tempatan dan kraf tangan,” katanya.

“Ia adalah untuk menggalakkan masyarakat kampung menjana pendapatan dan memberi nilai kewangan kepada produk kraf tangan,” katanya semasa melawat kawasan di Sungai Rian Kampung Kepayang, di sini kelmarin.

Nancy menjelaskan untuk mencapai hasrat tersebut wakil rakyat dan penduduk kampung perlu bersatu hati dan sentiasa mempunyai ikatan perpaduan yang kukuh.

“Kita perlu bersatu hati dalam memajukan kawasan kita di Batang Sadong dan Dun Gedong ini.

“Oleh itu saya meminta Jawatankuasa Pembangunan Perkelahan Sungai Rian, Kepayang, Simunjan yang disertai oleh empat Tuai Rumah, mengemukakan keperluan pembangunan pelancongan seni dan budaya bagi membantu merancakkan sektor ekopelancongan.

“Begitu juga dengan hasil kraf tangan yang unik ini dan berelemenkan seni budaya masyarakat Iban oleh Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS).

Ia boleh diangkat sebagai produk pelancongan,” ujarnya.

Beliau turut menyampaikan Kad Emas Kenyalang kepada penduduk sekitar, termasuk peruntukan kepada beberapa buah pertubuhan dan badan bukan kerajaan (NGO).