KUCHING: Persatuan Melanau Kuching (PMK) melalui Ahli Jawatankuasa yang diketuai oleh presidennya, Yussibnosh Balo merancang untuk membina sebuah rumah belanga di tanah milik Lembaga Amanah Kebajikan Kaum Melanau Sarawak.

Belanga merupakan ‘oven gergasi’ yang digunakan oleh kaum Melanau untuk memasak sagu dan tebaloi.

“Dengan peruntukan sekitar RM70,000 kita merancang untuk membina sebuah belanga dan dua buah serambi bagi menempatkan Cafe dan untuk kegunaan PMK.

“Belanga akan dibina secara gotong-royong antara Persatuan Melanau Kuching, Lembaga Amanah Kebajikan Kaum Melanau Sarawak dan Persekutuan Persatuan Melanau Sarawak,” ujar Yussibnosh yang juga Adun Tellian.

Menurutnya, pembinaan belanga akan menggunakan tanah jenis tawei dari Mukah dan pembinaannya melibatkan pakar dari Mukah.

“Serambi pula akan digunakan untuk pelbagai aktiviti, termasuk tempat mengadakan latihan tarian.

Konsep atap akan berbentuk terendak Melanau.

“Dengan adanya belanga dan serambi, maka kita akan dapat membuat sagu di Kuching serta mengadakan pelbagai aktiviti,” katanya.

Sementara itu, menurut Naib Presiden 1 PMK, Robin Junang, rumah belanga ini akan dilengkapi tempat memasak sagu dan tebaloi, ruang legar, ruang mengayak dan serambi.

“Rumah ini dibuat menggunakan konkrit dengan mengekalkan bentuk tradisi kaum Melanau,” katanya. Rahimi Rahim