KUCHING: Satu laporan polis dibuat mengenai tindakan Pemuda Sosialis DAP (Dapsy) kerana menampal tulisan Cina pada papan tanda jalan di pusat bandar pada Khamis lalu.

Menteri Muda Kerajaan Tempatan Datuk Dr Penguang Manggil berkata, papan tanda jalan di bawah bidang kuasa majlis tempatan dan harus dipasang dengan kelulusan dan keizinan undang-undang.

“Tanda jalan biasanya dwibahasa dengan tulisan lebih besar menggunakan bahasa Malaysia dan lebih kecil untuk bahasa kedua.

“Mengubah suai papan tanda itu satu kesalahan dan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) harus mengambil tindakan sewajarnya dengan membuat laporan polis,” katanya kepada New Sarawak Tribune ketika dihubungi.

Beliau diminta mengulas tindakan Dapsy menampal tulisan Cina pada papan tanda di Jalan Main Bazaar, Jalan Wayang dan Jalan Green Hill.

“Atas alasan apa-apa pun, ia adalah satu kesalahan dan perbuatan yang mengambil kira undang-undang sendiri itu tidak harus dibiarkan,” tegasnnya.

Sementara itu, anggota Dapsy telah dipanggil polis untuk memberi keterangan di IPD Kuching sekitar jam 3 petang Jumaat lepas.