DARO: Yakup Rosli dan Rabaah Ahmat menerima anugerah kariah contoh sempena sambutan Maal Hijrah 1442 anjuran Jawatankuasa Pengurusan Surau Darul Ihsan Kampung Badong di sini.

Yakup, 70, seorang petani merupakan jemaah paling awal hadir, membuka surau dan lampu serta menghamparkan sejadah, secara sukarela setiap hari.

Manakala Rabaah, 41, seorang suri rumah dan sukarelawan banyak membantu jawatankuasa mengemas dan membersihkan surau sejak 10 tahun yang lalu.

Beliau turut menanam dan menyiram pokok bunga bagi menyerikan lagi persekitaran Surau Darul Ihsan.

Pengerusi Surau Darul Ihsan, Abang Shamsure Abang Wahap berkata, pemilihan kariah adalah berdasarkan sumbangan mereka terhadap surau secara sukarela serta komitmen dalam menjalankan kerja amal.

“Kita juga ingin menjadikan mereka sebagai contoh terutama kepada generasi muda.

Pemilihan yang dianggotai panel khas ini, tidak melibatkan JKP Surau.

“Penganugerahan ini julung kali diadakan.

Insya-Allah, kita cuba untuk mengadakannya setiap tahun bagi menghargai jasa dan khidmat bakti yang dicurahkan oleh kariah surau,” katanya kepada Suara Sarawak semalam.

Jelasnya, majlis sambutan Maal Hijrah peringkat surau itu dihadiri sekitar 50 penduduk.

Program tersebut bertujuan untuk mendedahkan tentang kejayaan penghijrahan Nabi Muhammad SAW sehingga berkembangnya syiar Islam di serata dunia.

“Selain menyampaikan sijil penyertaan kepada peserta korban dan akikah, kami juga menjemput ustaz Azizan Ajiji untuk menyampaikan ceramah,” tambahnya.

MAAL HIJRAH… Program tahunan Surau Darul Ihsan Kampung Badong.