JATUH… penunggang bersama motosikalnya terseret ke jalan raya akibat ditendang seorang anggota trafik

KUCHING: Tindakan tegas akan dikenakan terhadap anggota polis sekiranya didapati cuai atau bertindak agresif ketika menjalankan tugas.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail berkata demikian susulan penularan sebuah video merakamkan seorang anggota trafik menendang sebuah motosikal yang cuba membuat pusingan U ketika menjalankan ‘Ops Motosikal’ mengejut di Jalan Temple Sibu, hari ini.

“Kita telah maklum dan akan menjalankan siasatan terhadap satu kes video viral di mana seorang anggota trafik telah menendang sebuah motosikal yang cuba membuat pusingan U secara tiba-tiba ketika melihat sepasukan anggota trafik membuat pemeriksaan.

“Tindakan tegas akan diambil ke atas anggota ini sekiranya dia didapati cuai atau bertindak agresif ketika menjalankan tugas,” jelasnya ketika dihubungi Suara Sarawak hari ini.

Menurutnya, kejadian sekitar jam 12.15 tengah hari yang dirakam oleh orang awam menunjukkan sepasukan anggota trafik sedang melakukan pemeriksaan sebelum salah seorang anggota itu bertindak menendang sebuah motosikal dipandu oleh seorang lelaki.

Beliau bagaimanapun mengesahkan penunggang terbabit didapati mempunyai beberapa kesalahan trafik hasil pemeriksaan dilakukan sejurus kejadian berlaku.

Dedahnya, antara kesalahan penunggang terbabit yang dikenal pasti adalah tiada lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh, tiada dilindungi insurans, lawan arus trafik, dan ubah suai ekzos.

Ujarnya, sabjek(penunggang) turut dikenakan notis saman atas kesalahan-kesalahan trafik yang dilakukan.