BARU-BARU ini, Pemuda DAP Sarawak (Dapsy) telah menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan masyarakat Sarawak kerana bertindak melanggar undang-undang pihak berkuasa tempatan dengan meletakkan tulisan Cina tanpa meminta kebenaran pihak berkuasa tempatan (PBT).

Ini sudah melanggar DAP sendiri yang kononnya mahu menjunjung prinsip rule of law atau undang-undang.

Bak kata pepatah, ‘umpama meludah ke langit’ yang menggambarkan DAP termakan kata-kata sendiri.

Selain itu, DAP perlu bertindak bijak dengan memohon kebenaran daripada PBT jika benar-benar mahu menjunjung prinsip memartabatkan undang-undang.

Oleh itu, tiada beza tindakan vandalisme grafiti kerana tidak meminta kebenaran daripada pihak PBT.

Alasan DAP menambah tulisan Mandarin khas untuk pelancong China sebagai satu alasan kurang munasabah kerana pelancong dapat menggunakan aplikasi peta digital seperti Google Maps dan Waze sebagai panduan.

Sebenarnya DAP sengaja bertindak sedemikian kerana terdesak mahukan undi masyarakat Cina pada hal ramai yang tahu DAP tidak lagi mendapat sokongan rakyat Sarawak.

Jadi benarlah DAP hanya retorik semata-mata kerana segala perbuatan dan tindak-tanduk mereka tidak selari dengan apa-apa dilaung oleh mereka.

Seperti pepatah Melayu ‘mengata dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih’ adalah pepatah yang tepat untuk menggambarkan DAP yang sebenar.

Mudah melenting Salah seorang pemimpin DAP, Abdul Aziz Isa menyelar teguran dan nasihat daripada rakan seperjuangan mereka seperti Marina Ibrahim.

Marina menegur perbuatan Dapsy bahawa mereka perlu mendapatkan kebenaran daripada PBT untuk menunjukkan DAP benar-benar menjunjung kedaulatan undang-undang.

Namun, Aziz bersikap melenting apabila ditegur oleh rakannya sendiri dalam parti dan jelas DAP kurang matang dalam perkara ini.

Ini menunjukkan jelas bahawa DAP tidak faham budaya Sarawak dengan tidak memahami sensitiviti masyarakat setempat.

Paling menghairankan apabila DAP tidak faham undang-undang dalam Akta 152 yang mengkehendaki bahasa Melayu digunakan pada semua papan tanda jalan.

Ini jelas DAP tidak faham atau sengaja berbuat demikian demi mendapat populariti murahan dan meraih undi masyarakat.

Oleh itu, jangan tanya DAP masih lagi belum dapat diterima oleh masyarakat setempat kerana kegagalan mereka memahami budaya masyarakat Malaysia.

Arus perubahan masyarakat Malahan idea mereka sangat lapuk dan ketinggalan zaman, kerana dunia pada masa kini berubah kepada Revolusi Industri 4.0.

Teringat teguran Duta British di Rusia kepada Maharaja Rusia, Nicholas II mengatakan raja perlu mendapat keyakinan rakyat. Namun, Nicholas II sangat sombong dan tidak mahu mendengar nasihat malahan mengeluarkan rakyat perlu mendapat keyakinan daripada raja.

Jelas, pemimpin dan ahli politik yang gagal memahami keadaan dan situasi perubahan global menjadikan mereka akan ditolak oleh rakyat.

Mereka perlu berubah sebelum rakyat mengubah mereka dan pemimpin yang berani membuat perubahan akan disanjung oleh rakyat.