MIRI: Ahli Dewan Negara Senator Alan Ling berpendapat Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali wajar dibawa ke muka pengadilan.

Beliau berkata demikian merujuk kepada Khairuddin yang hanya dikompaun sebanyak RM1,000 oleh Kementerian Kesihatan (KKM) atas kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) kuarantin.

“Saya berpendapat bahawa Khairuddin memberi contoh yang tidak baik kepada masyarakat kerana denda tersebut tidak setimpal dengan kesalahan yang dilakukan.

“Sedangkan ramai masyarakat di luar sana telah dikenakan denda yang lebih berat dan perkara ini tidak adil,” tegasnya kepada pihak media selepas menyerahkan sumbangan cecair pembasmi kuman kepada Persatuan Wartawan Utara Sarawak (NSJA).

Tambahnya, denda tersebut terlalu ringan jika dibandingkan dengan segelintir menteri di luar negara yang meletak jawatan atas kesalahan melanggar SOP.

Sementara itu, Alan memberitahu, sumbangan cecair pembasmi kuman merupakan salah satu inisiatif untuk menzahirkan penghargaannya kepada wartawan yang telah bertungkus-lumus bertugas tanpa mengira masa dan tempat terutamanya pada musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Wartawan juga merupakan barisan hadapan yang memberikan komitmen tinggi dengan menyalurkan maklumat sahih dan terkini kepada warga Malaysia sepanjang PKP sejak 18 Mac lalu hingga kini,” ujar beliau.