KUCHING: Status Daerah Bintulu bertukar daripada hijau kepada kuning setelah dua kes tempatan dicatatkan, semalam.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas (gambar) berkata, status Daerah Kuching bagaimanapun kekal kuning walaupun terdapat lima kes dicatatkan.

Menurutnya, jumlah kes tempatan yang dilaporkan dalam tempoh 14 hari lepas adalah empat kes selepas pertambahan tiga kes tempatan baharu semalam.

“Ini menjadikan jumlah daerah berstatus kuning setakat hari ini (semalam) adalah dua daerah dan daerah berstatus hijau adalah 38 daerah,” katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak.

Beliau berkata demikian pada sidang media Covid-19 harian di Bangunan Dun Lama di sini, semalam.

Uggah berkata, terdapat enam kluster masih aktif yang melibatkan 60 orang.

Kluster Syarikat Kejuruteraaan (lapan kes), Kluster Mambong (tujuh kes), Kluster Sentosa (31 kes), Kluster PUI Melbourne (tiga kes), Kluster Pasar Satok (empat kes) dan Kluster Alam, Bintulu (tujuh kes).

Jelasnya lagi, tiada kes baharu pulih dan dibenarkan didiscaj dari hospital semalam.

Jumlah keseluruhan kes postif Covid-19 pulih dan dibenarkan didiscaj katanya, kekal 662 orang atau 95.11 peratus.

“Seramai 15 orang masih menerima rawatan di wad isolasi hospital.

“Ini termasuk sembilan di Hospital Bintulu, empat kes di Hospital Umum Sarawak (HUS), manakala seorang di Hospital Sibu dan Hospital Miri.

“Terdapat lima PUI baharu dilaporkan dan lima kes PUI masih menunggu ujian makmal,” ujarnya lagi.