KUCHING: Setiausaha Agung Supp Datuk Sebastian Ting menyambut baik pengumuman mengenai pembentukan Kaukus Ahli Parlimen Reformasi Sistem Pilihan Raya yang bertujuan mencari jalan untuk menghentikan amalan lompat parti dalam kalangan ahli politik.

Katanya, cara itu diyakini dapat menghentikan budaya katak dalam landskap politik di negara ini.

“Justeru, pindaan mesti dilaksanakan terhadap Perlembagaan Persekutuan bagi memastikan lompat parti tidak lagi diamalkan,” katanya di sini, Ahad.

Kaukus Ahli Parlimen ditubuhkan dan diwakili setiap parti politik dengan tugas pertama menyiapkan laporan mengenai mekanisme bagi reformasi sistem pilihan raya dalam tempoh enam bulan untuk dibentang kepada kerajaan. Pengerusi Kesatuan Antara Parlimen (IPU) Malaysia, Anthony Loke dalam mesyuarat pada 18 Ogos lalu sebulat suara bersetuju mencadangkan Ahli Parlimen Padang Rengas Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz sebagai pengerusi kaukus berkenaan.

Tambah Sebastian, ia mampu untuk melihat pembaharuan dalam sistem pilihan raya terutama bagi wakil rakyat yang suka lompat parti.

“Saya rasa kebanyakan rakyat Malaysia bersetuju untuk menolak budaya lompat parti dan harap ia dilaksanakan secepat mungkin,” katanya.

Tambahnya, tugas mereka adalah menyiapkan laporan mengenai mekanisme bagi reformasi sistem pilihan raya dalam tempoh enam bulan dan akan dibentangkan kepada kerajaan.