KUCHING: Ibu Bapa Tunggal (IBT) yang mempunyai tanggungan akan dibayar insentif Bantuan Khas Sarawakku Sayang Ketua Isi Rumah (BKSS KIR) B40 pada September nanti.

Unit Perancang Ekonomi dalam kenyataan hari ini berkata usaha kini sedang dijalankan bersama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi membuat pengesahan status IBT sama ada mereka merupakan IBT tanpa tanggungan atau IBT dengan tanggungan.

“Sekiranya IBT tanpa tanggungan maka mereka hanya menerima insentif BKSS Bujang B40 dan bayaran akan ditamatkan. Bagi IBT dengan tanggungan, mereka akan menerima bayaran sepenuhnya insentif BKSS KIR B40 pada September 2020.

“Oleh itu dakwaan mengatakan pembayaran telah dibatalkan adalah tidak benar kerana IBT dengan tanggungan yang terkesan akan mendapat pembayaran penuh setelah pengesahan status tanggungan dibuat,” katanya.

Kenyataan itu menambah Kerajaan Sarawak mengambil maklum berlaku perubahan status kepada seramai 81,120 penerima asal BKSS KIR B40 kepada IBT tanpa tanggungan.

Oleh demikian, katanya Kerajaan Sarawak menangguhkan pembayaran kepada 81,120 penerima asal BKSS KIR B40 yang telah bertukar status menjadi IBT tanpa tanggungan atau dikategorikan sebagai bujang dalam Pakej BKSS 2020.

Berdasarkan rayuan dan maklumat terkini B40 daripada LHDN, seramai 788,534 penerima yang layak iaitu peningkatan sebanyak 267,617 penerima atau 51.2 peratus.

Bilangan penerima terdiri daripada 369,139 KIR, 301,281 bujang dan 118,114 IBT tanpa tanggungan.

“Kerajaan Sarawak telah meneruskan pembayaran BKSS 2020 B40 termasuk penerima tambahan yang layak pada Julai dan Ogos dengan perbelanjaan sebanyak RM319.92 juta,” katanya.

Manakala berdasarkan maklumat KIR B40 daripada LHDN dalam Mac, seramai 406,243 KIR layak menerima insentif kewangan RM250 sebulan untuk enam bulan.

Mereka telah dibayar pada April hingga Jun dengan peruntukan sebanyak RM304.68 juta.

Di samping itu, Kerajaan Sarawak juga membantu golongan Bujang B40 dalam Pakej BKSS 2020.

Berdasarkan maklumat LHDN pada April, seramai 114,683 bujang layak menerima insentif kewangan sekali sahaja iaitu sebanyak RM500 dan telah dibayar pada Mei dengan jumlah perbelanjaan sebanyak RM57.21 juta.

Secara keseluruhannya, seramai 520,926 penerima insentif BKSS B40 dan Kerajaan Sarawak telah membelanjakan peruntukan sebanyak RM361.89 juta untuk membiayai insentif ini.

Pakej BKSS 2020 adalah inisiatif Kerajaan Sarawak untuk mengurangkan beban rakyat dalam menghadapi kesukaran akibat pandemik Covid-19 dan telah membantu semua lapisan masyarakat terutamanya golongan berpendapatan rendah atau B40.