KUCHING: Tujuh individu warganegara asing serta 16 lagi warga tempatan ditahan polis setelah didapati tidak mengamalkan penjarakan fizikal di tempat awam, malam semalam.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Awang Din Awang Gani berkata, semua individu terbabit ditahan hasil pemeriksaan pasukan Balai Polis Sentral dan Unit Peronda Polis (MPV) di Tebingan Sungai Kuching dan premis hiburan di Jalan Song.

Dedahnya, semua suspek yang terdiri daripada 13 lelaki dan 10 wanita berusia 18 hingga 26 tahun.

“Pemeriksaan mendapati 13 individu di tempat awam dan tiga pelanggan di sebuah premis hiburan dikesan melanggar peraturan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), iaitu gagal mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) penjarakan fizikal seperti yang telah diwartakan oleh kerajaan.

“Pemeriksaan di tempat awam turut menahan serta membuka kertas siasatan terhadap tujuh warganegara asing atas kesalahan sama,” jelasnya dalam satu kenyataan semalam.

Susulan itu katanya, semua individu dibawa ke IPD Kuching, manakala ketujuh-tujuh warganegara asing ditahan untuk siasatan lanjut di bawah kesalahan Peraturan 3, Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPPB) (Langkah-langkah di Dalam Kawalan Tempatan Jangkitan) 2020.

Tegasnya, semua 16 individu terbabit dikenakan notis kompaun RM1,000 serta-merta dan perlu dijelaskan di Pejabat Kesihatan Daerah Kuching dalam tempoh 14 hari.

Sementara itu katanya, kes ketujuh-tujuh warga asing pula akan dirujuk terhadap kertas siasatan yang dibuka kepada Timbalan Pendakwa Raya Sarawak untuk mendapatkan arahan pendakwaan di mahkamah.

Beliau dalam pada itu turut memberitahu biarpun amaran berulang kali diberikan oleh pihak polis namun masyarakat awam masih gagal mematuhinya dan bersikap sambil lewa dengan arahan memaruhi SOP yang telah diberikan.