PADAWAN: Seorang lelaki meninggal dunia dipercayai mengalami serangan jantung ketika memandu sebelum kenderaannya terbabas di kawasan Batu 17, Jalan Kuching-Serian, awal pagi semalam.

Ketua Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Supt Alexson Naga Chabu berkata, kemalangan terbabit berlaku sekitar jam 7.50 pagi membabitkan sebuah kereta jenis Proton Iswara.

Menurutnya, mangsa (pemandu) dikenali sebagai Green Saperk, 46, berkerja sebagai pemandu lori disahkan maut di tempat kejadian.

“Hasil siasatan mendapati kenderaan dipandu mangsa yang bergerak lurus dari Batu 24 menuju ke Kuching telah hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar penghadang di sebelah kanan jalan.

“Mangsa bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan dan disahkan maut oleh doktor Klinik Kesihatan Siburan, dipercayai akibat serangan jantung,” jelasnya dalam satu kenyataan semalam.

Susulan itu katanya, mayat telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Umum Sarawak untuk tindakan siasatan lanjut. Tambahnya, tindakan lain termasuk melawat tempat kejadian serta membawa kenderaan terlibat kemalangan ke Balai Trafik IPD Padawan untuk pemeriksaan Puspakom dan Jabatan Kimia turut dilakukan.

Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.