ATLET muaythai Sukma Sarawak kembali berlatih di Pusat Gimnasium Persatuan Muaythai Sarawak (PMNS) bagi menghadapi persediaan ke Sukma XX-Johor 2021.

Jurulatih Muaythai Majlis Sukan Negeri Sarawak(MSNS), Muhammad Azan Mohd Nadzri berkata, latihan di pusat berkenaan adalah untuk atlet elit di Kota Samarahan dan Kuching sahaja.

“Untuk atlet dari Bintulu dan Miri akan berlatih di pusat gimnasium masing-masing bersama-sama jurulatih Pusat Pembangunan. “Bagi atlet dari kawasan pedalaman Tatau akan dihantar ke Miri,” katanya yang dihubungi Suara Sarawak baru-baru ini.

Tambah beliau, latihan atlet lebih kepada kecergasan dan kekuatan fizikal tetapi latihan bersentuhan masih tidak digalakkan.

Jelasnya, PMNS merancang untuk mengadakan kejohanan muaythai dalam negeri namun bergantung kepada keadaan semasa Covid-19.

“Kejohanan itu amat penting untuk menilai prestasi atlet kita, kemungkinan selepas tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) tamat baru kita berbincang untuk mengadakan kejohanan.

“Sebelum ini, PMNS mengadakan pertandingan muaythai dalam kategori wai ru dan boran secara dalam talian,” jelas Azan.

Menurutnya, kedua-dua kategori itu baru diperkenalkan dalam Sukma dan menyediakan dua pingat emas.

Pertandingan tersebut mungkin diadakan semula secara langsung dalam talian seperti menggunakan aplikasi facebook.