KUCING merupakan salah satu binatang ternakan yang paling terkenal di Malaysia.

Boleh dikatakan haiwan berbulu ini dijadikan haiwan peliharaan. Tetapi tahukah anda, kucing ialah pembawa sejenis bakteria yang dinamakan Bartonella henselae.

Public Health Malaysia (PHM) menyatakan, kajian menunjukkan 40 peratus kucing pernah dijangkiti bakteria ini.

Apabila kucing menjilat luka atau mencakar anda, air liur kucing yang dicemari bakteria ini masuk ke tubuh anda lalu menyebabkan sejenis penyakit yang dikenali sebagai Cat Scratch Disease (CSD) atau penyakit cakar kucing.

Dalam tempoh 3 hingga 14 hari, luka akan kelihatan merah, bengkak dan panas. Ia mungkin bernanah dan menyakitkan.

Kelenjar di kawasan luka membengkak dan anda mungkin demam sehingga menggigil, merasa lemah, hilang selera makan dan sakit kepala.

Dalam kes yang lebih serius (jarang berlaku), jangkitan ini mampu mengakibatkan jangkitan organ lain seperti mata, otak dan jantung.

Kanak-kanak dan golongan yang mempunyai imuniti tubuh yang rendah adalah golongan berisiko tinggi.

Di Amerika Syarikat, setiap tahun 15,000 individu dijangkiti penyakit ini.

Sekiranya anda mempunyai sebarang luka, elakkan daripada dijilat kucing. Jika anda dicakar kucing, pastikan luka dibasuh segera dengan air sabun.

Dapatkan pemeriksaan segera jika luka melarat.