KUCHING: Tiada kes positif Covid-19 dilaporkan di Sarawak hari ini, menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak.

“Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 di Sarawak kekal sebanyak 696 kes,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Justeru, empat kluster diisytiharkan tamat setelah tiada kes baharu dilaporkan dalam tempoh 28 hari dari tarikh kes terakhir iaitu Kluster Syarikat Kejuruteraan Kuching, Kluster Sentosa, Kluster PUI Melbourn dan Kluster Pasar Satok.

Menurut JPBN Sarawak, Kluster Syarikat Kejuruteraan Kuching melibatkan sebuah syarikat perunding kejuruteraan yang beroperasi di Kuching dan telah dikesan pada 18 Julai membabitkan lapan kes Covid-19 daripada 495 orang yang telah disaring.

Manakala, Kluster Sentosa melibatkan sebuah fasiliti kesihatan di Kuching dan dikesan pada 21 Julai membabitkan 31 kes positif daripada 518 orang telah disaring terdiri daripada petugas kesihatan, pekerja am dan juga kontak rapat kepada kes-kes yang telah dikenal pasti.

Kluster PUI Melbourne yang dikesan pada 22 Julai daripada seorang pelajar tempatan selepas pulang dari Melbourne, Australia telah menyebabkan tiga kes positif dan seramai 114 orang telah disaring terdiri daripada kontak pesawat dan kontak rapat kepada kes-kes yang telah dikenal pasti.

Bagi Kluster Pasar Satok, kes dikesan pada 28 Julai apabila Jabatan Kesihatan Negeri menjalankan saringan aktif di Pasar Satok berikutan laporan kes
Covid-19 di Pasar Stutong.

Saringan ke atas 229 peniaga dan pekerja am yang ada di pasar tersebut mendapati empat orang positif.

Sementara, kluster Covid-19 yang masih aktif ialah Kluster Mambong dan Kluster Aman, Bintulu yang masing-masing melibatkan tujuh kes.

Dalam pada itu, tiada kes baharu yang telah pulih dan dibenarkan discaj dari hospital, menjadikan jumlah kes postif yang telah pulih dan dibenarkan discaj setakat hari ini seramai 662 orang atau 95.11 peratus.

Seramai 15 orang masih menerima rawatan dalam wad isolasi iaitu sembilan kes sedang dirawat di Hospital Bintulu, empat kes dirawat di Hospital Umum Sarawak, seorang di Hospital Sibu dan seorang di Hospital Miri.

Jumlah kematian kekal 19 orang dan sebanyak 19 PUI baharu dilaporkan dengan dua kes PUI masih menunggu ujian makmal.