PASUKAN bola sepak Sukma Sarawak akan mengadakan dua aksi persahabatan di Bahagian Miri awal bulan depan.

Ketua jurulatih Ahmad Fairuz Yunus berkata, aksi pertama akan menentang pasukan IPD Miri pada 5 September, manakala aksi kedua pada 6 September menentang pasukan Miri FA.

“Kita juga merancang untuk mengadakan perlawanan persahabatan dengan tiga pasukan di Semenanjung Malaysia pada 12 September hingga 19 September.

“Namun pihak lawan masih belum memberi kata putus. Kita masih menunggu maklum balas,” katanya kepada Suara Sarawak kelmarin.

Menurutnya, pasukan yang bakal berentap di Semenanjung Malaysia nanti ialah pasukan Sukma Perak, skuad Malaysia Bawah 19 tahun dan ATM.

Tambah beliau, perlawanan itu amat penting sebagai ujian untuk menguji prestasi dan keserasian pemain di padang.

Jelas Fairuz, perkembangan latihan pemain setakat sekarang menunjukkan peningkatan dari semasa ke semasa cuma perlu memperbaiki keserasian dan kerjasama dalam pasukan.

“Terdapat empat pemain yang cedera semasa menjalani latihan tetapi ia tidak akan menjejaskan persiapan pasukan ke Sukma kelak,” jelasnya.