KUCHING: Peribahasa memberi seekor ikan kepada seseorang bermakna anda memberi dia makan sehari, tetapi mengajar mereka memancing, sama seperti memberi makan seumur hidup.

Peribahasa ini seolah-olah memberi peluang kepada kita untuk mempelajari kemahiran supaya dapat menikmati hasil selama-lamanya.

Ia juga menjadi pedoman Lee Cho Seng, warga emas yang tidak menjadikan masalah pekak sebagai alasan untuk menjalani kehidupan seperti orang kebanyakan.

Baginya mempelajari kemahiran baharu dapat memimpin perjalanan untuk pergi lebih jauh.

Sepanjang hidupnya Cho Seng menimba pelbagai ilmu dan kemahiran berkaitan pertanian walaupun berusia 62 tahun.

Beliau sedar akan kekurangan dirinya namun tidak mahu bergantung harap kepada orang lain.

Cho Seng percaya kemahiran yang dipelajarinya dapat mengubah kehidupannya.

Lebih menarik, Cho Seng hanya mengetahui dia tidak dapat mendengar pada usia tujuh tahun kerana ibu bapanya tidak memberitahu keadaan sebenar.

“Saya melihat adik-beradik saya bercakap dan ketawa, tetapi saya tidak dapat mendengarnya.

“Saya tidak dapat ketawa bersama-sama mereka kerana saya tidak tahu perkara yang dibual mereka,” katanya ketika ditemui wartawan New Sarawak Tribune baru-baru ini.

Namun, Cho Seng tidak keseorangan kerana daripada sembilan adik beradiknya, seorang kakaknya juga pekak namun telah meninggal dunia.

Setelah menamatkan zaman persekolahan, dia berusaha membantu ayahnya dalam dunia perniagaan.

Cho Seng belajar bagaimana untuk terus berdikari dengan memperoleh kemahiran dalam pertanian.

Sebagai petani, dia mempraktikkan seni berkebun dan sentiasa membaiki kekurangan setiap hari.

“Pada awalnya, saya gagal menanam sayur kerana daunnya sering layu.

“Namun ia tidak pernah mematahkan semangat saya. Saya sentiasa belajar daripada kesilapan dan memeriksa kaedah semaian – bagaimana langkah yang betul untuk berjaya menanam sayur,” jelas Cho Seng

Sambil mendedahkan pengalaman pertaniannya sebagai pengajaran berguna.

“Saya belajar bercucuk tanam, kemudian menuai hasil untuk dijual.

“Tugas lain saya di ladang ialah memotong pokok menggunakan kapak,” katanya lagi.

Cho Seng juga belajar selok-belok campuran tanah untuk semua jenis tanaman.

Selain bercucuk tanam, Cho Seng juga mahir dalam seni tenunan bakul dan ukiran.

Bermula dengan kemahiran dan pengetahuan sifar, warga emas dengan kekurangan pendengaran ini membina kehidupan yang lebih baik.

Cho Seng berharap dapat menjadi inspirasi kepada masyarakat sekitar, terutamanya melibatkan bidang pertanian.

Sekarang ini, Lee bertani di sekitar bangunan Persatuan Masyarakat Pekak (SSD) Kuching.