SARIKEI: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak mengeluarkan 12,779 saman atas pelbagai kesalahan melibatkan pengguna jalan raya di negeri ini.

Pengarahnya Mohd Syafiq Anas Abdullah berkata, notis saman itu dikeluarkan ketika operasi bersepadu agensi itu sepanjang tujuh bulan pertama tahun ini (Januari hingga Julai lalu).

Menurutnya, operasi yang diadakan dengan kerjasama polis dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) itu bagi memastikan isu terutama yang berkaitan jalan raya dapat ditangani secara bersepadu.

“Kalau bukan kerana PKP, kita laksanakan operasi ini dua minggu sekali bersama-sama semua agensi yang berkaitan.

“Tujuannya untuk memastikan undang-undang jalan raya dan isu yang berkaitan dengan keselamatan jalan raya dipatuhi orang ramai,” katanya kepada media selepas menghadiri operasi bersepadu JPJ Sarikei bersama Polis dan AADK, di Simpang Bulat di sini, kelmarin.

Beliau berkata, dalam tempoh 1 Ogos hingga 23 Ogos, JPJ Sarawak mengutip hasil sebanyak RM 163,824.10 manakala JPJ cawangan Sarikei pula, RM8,760 selepas potongan 70 peratus ke atas kadar saman terbabit.

Bermula 1 Ogos hingga 31 Ogos katanya, JPJ menawarkan kadar pengurangan sebanyak 70 peratus ke atas setiap saman yang boleh dikompaun seperti cukai jalan dan lesen memandu.

Bagaimanapun ujarnya, keistimewaan itu dikecualikan untuk kes lebih muatan yang melebihi 30 peratus dan cukai jalan yang tidak mempunyai pelindungan insurans.

“Diskaun 70 peratus sepanjang sambutan bulan kemerdekaan ini, merupakan sebahagian tanggungjawab sosial kita kepada masyarakat.

“Kerajaan amat mengambil berat dan prihatin terhadap beban kewangan pengguna yang dikesan melakukan kesalahan di jalan raya.

“Sehubungan itu, kita juga membuka kaunter pembayaran pada hujung minggu sehingga ke satu tempoh yang ditetapkan nanti. Bagaimanapun pada hujung minggu, pembayaran perlu dibuat secara kad debit saja,” katanya.

Operasi bersepadu itu disertai sembilan anggota JPJ Sarikei, enam anggota PDRM dan enam anggota AADK Sarikei.

JPJ Sarikei mengesan enam notis kesalahan termasuk gagal meletakkan tanda lesen P, menunjukkan lesen kenderaan dan cukai jalan manakala, PDRM pula mengenal pasti tiga kesalahan trafik.

“Dalam operasi ini juga AADK Sarikei turut menahan lima individu yang masingmasing berusia 30-an selepas didapati positif dadah dipercayai jenis syabu,” ujarnya. Hadir sama Ketua JPJ Sarikei Nurul Fairezzah Safri.