SIBU: Kementerian Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi terus melaksanakan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) di negeri ini.

Jaminan ini diumum Menteri Mudanya Dr Annuar Rapaee ketika melancarkan Program Jangkauan Dwibahasa Dalam Pembelajaran (DLP) di sebuah hotel terkemuka di sini, semalam.

“Alang-alang kita sudah buat, kenapa mahu dihentikan? Teruskan sahaja kerana impak sistem pengajaran ini sungguh besar.

Ia bakal memberi imej pendidikan di negeri ini berada pada skala berprestij.

“Lagipun, Kerajaan Sarawak sudah berbelanja besar sekitar RM10 juta hingga RM11 juta untuk tujuan ini, termasuk melatih guru terlibat.

“Kita tidak mahu rugi dengan menamatkan program ini begitu sahaja.

Malah ada beberapa negeri mula mencontohi Sarawak dalam melaksanakan PPSMI,” katanya.

Menurutnya lagi, pembelajaran tersebut melibatkan 27,931 murid Tahun Satu di 1,034 sekolah rendah di seluruh negeri.

“Saya akan memastikan setiap sekolah tidak tersisih daripada program ini dan terus dibantu hingga kita mencapai objektif sebenar.

“Kerajaan Sarawak juga komited membantu apa sahaja terutamanya dana agar PPSMI ini diteruskan di Sarawak,” ujarnya.

Menteri Muda Kerajaan Tempatan dan Perumahan itu berkata, Kerajaan Sarawak begitu serius dengan program itu dan tidak mahu ia terhenti sekerat jalan.

Dr Annuar memberitahu, begitu banyak pihak kurang yakin terhadap pelaksanaan program berkenaan hingga Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tidak lagi melaksanakannya disebabkan pelbagai faktor dan kesulitan.

“Tapi di Sarawak, kita akan teruskan termasuk menyingkir tanggapan mengajar Sains dan Matematik menggunakan Bahasa Inggeris sebagai susah dan sukar,” kata Adun Nangka itu lagi.

Dr Annuar menggesa Kerajaan Persekutuan memberi tumpuan kepada Sarawak agar diberi keutamaan terutamanya peruntukan pendidikan bagi membantu meningkatkan prestasi sekolah.

Katanya, sekolah yang menunjukkan prestasi lemah harus diberi perhatian bukan sahaja dalam bentuk peruntukan tetapi bantuan pendidikan kepada guru dari segi latihan termasuk meningkatkan tahap profesional pengamal pendidikan.

Beliau berkata, tiada seorang pelajar akan disisih daripada menikmati pendidikan sewajarnya.

Dr Annuar mendedahkan kedudukan keputusan UPSR Sarawak pada tangga kedua akhir di negara ini.

“Kita mahu KPM memandang serius perkara ini.

Kami mahu peruntukan yang seadilnya untuk membangunkan sekolah termasuk meningkatkan kecemerlangan pendidikan negeri ini,” tegas beliau lagi.

Hadir sama ialah Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran, Jabatan Pendidikan Negeri Dr Les Met dan Pegawai Pendidikan Daerah Sibu Ahli Chikba.