MIRI: Pembinaan Jalan Ulu Suai bernilai RM70.99 juta bakal merancakkan kegiatan sosioekonomi penduduk setempat terutama yang berasaskan pertanian dan industri asas tani di kawasan tersebut.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, projek yang asalnya bernilai RM67.99 itu menghubungkan Kampung Iran Suai dan Jalan Pesisir Miri-Bintulu terus ke Lebuh Raya PanBorneo secara berperingkatperingkat.

“Kawasan Suai merupakan dataran tanah subur di Miri dan Bintulu,” katanya pada lawatan kerja ke tapak projek Jalan Ulu Suai, Niah, Subis di sini semalam.

Jelasnya, jaringan jalan yang baik akan menjadikan Suai sebagai salah satu hub pertanian dan hasil pengeluaran komoditi pertanian di negeri ini pada masa depan.

Jelasnya, pembinaan dan kerja naik taraf jalan sedia ada terutama di kawasan pedalaman menjadi agenda pembangunan Kerajaan GPS dalam memastikan penduduk luar bandar dapat menikmati prasarana dan infrastruktur yang baik.

Abang Johari menyelar sikap sesetengah pihak yang mengeluarkan pelbagai tohmahan dan mendakwa janji GPS seperti air liur sahaja.

“Inilah air liur kita, segala yang kita janjikan kepada rakyat, kita tunaikan,” katanya.

Terdahulu pada majlis itu, beliau mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM3 juta bagi menyambungkan jalan dari Kampung Iran ke Jalan Pesisir Pantai.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Tan Sri Datuk Amar Dr James Jemut Masing, Menteri Utiliti Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Amar Jaul Samion. Hadir sama Menteri Muda Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Datuk Haji Julaihi Haji Narawi, Menteri Muda Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak Rosey Yunus, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Haji Mohamad Abu Bakar Marzuki dan Adun Samalaju Majang Renggi.