SERIAN: Jawatankuasa Pertanian Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (Saberkas) mengunjungi taman pertanian di kawasan Serian kelmarin.

Kunjungan pertama bermula di Ladang Chang Su Kuam yang mengusahakan pelbagai jenis tanaman seperti durian Musang King, rambutan, kelapa, cempedak dan langsat. Lebih menarik, Ladang Chang Su Kuam turut mengusahakan ikan empurau yang dianggap sebagai raja segala ikan kerana harganya agak tinggi.

Kunjungan jawatankuasa tersebut diketuai pengerusinya Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi yang juga merupakan Naib Presiden Saberkas. Rombongan jawatankuasa tersebut turut mengunjungi Ladang Lotus Agritech Sdn Bhd di Kuching yang berbentuk pertanian moden menggunakan kaedah fertigasi.

Menurut Dr Abdul Rahman, objektif kunjungan adalah untuk mempelajari mengenai teknik dan teknologi terkini terutama melibatkan perusahaan durian Musang King, ikan empurau dan fertigasi untuk dikongsi dengan golongan belia.

“Kita mempelajari mengenai teknik terbaik untuk mengusahakan tanaman secara moden dengan menggunakan sistem Internet untuk segala-galanya (IoT) dalam pertanian fertigasi disamping penanaman durian Musang King dan membela ikan empurau,” katanya.

Beliau berkata, kunjungan tersebut juga penting untuk mencari kaedah terbaik bagi menggalakkan golongan belia khususnya ahli Saberkas terlibat dengan pertanian selari dengan hasrat Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg untuk membangunkan pertanian moden di seluruh Sarawak.

“Kita sedia maklum penglibatan belia dalam pertanian pada masa ini agak berkurangan.

“Dengan maklumat yang kita perolehi, dapat juga dikongsikan kepada generasi muda sekali gus menarik minat mereka untuk terlibat dengan pertanian,” ujarnya.

Menurutnya lagi, pertanian merupakan salah satu sektor yang dapat menjana pendapatan tinggi jika diusahakan dengan baik dan teratur.

“Sekarang ini kita dapat lihat ramai pengusaha bidang pertanian menempa kejayaan dan kita juga mahu lahirkan ramai pengusaha pertanian berjaya dalam kalangan belia Saberkas,” jelasnya.

Turut hadir Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian Saberkas Dr Simon Sindang Bada dan ahli jawatankuasa tertinggi Saberkas Negeri.