MIRI: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Miri telah menahan dua bot nelayan tempatan kelas C atas pelbagai kesalahan dalam dua kejadian berasingan semalam.

Pengarah Zon Maritim Miri, Kapten Maritim Md. Fauzi Othman berkata, tangkapan pertama dilakukan pada lebih kurang jam 8.05 pagi oleh KM Siakap ketika menjalankan operasi OP Naga Timur pada kedudukan 4.0 batu nautika dari perairan Muara Sungai Miri.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati tekong dan lima anak kapal warga Indonesia berumur dalam lingkungan 35 hingga 53 tahun berada di atas bot berkenaan.

Jelasnya, seorang daripada kru didapati tidak memiliki sebarang permit kelulusan daripada Jabatan Perikanan Malaysia.

“Tangkapan kedua pula pada jam lebih kurang 9.00 pagi oleh Penggalang 23 yang dalam rondaan operasi OP Permai dan OP Benteng di Perairan Sibuti.

2 bot yang telah ditahan APMM Zon Maritim Miri

“Ketika diperiksa, tekong telah mengemukakan buku lesen yang telah tamat tempoh dan bot nelayan tersebut tidak mempunyai permit kelulusan menggunakan kru asing daripada Jabatan Perikanan Malaysia. Bot tersebut dikendalikan oleh tekong dan empat kru warga Vietnam berumur dalam lingkungan 34 hingga 47 tahun,” jelas beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Fauzi, kedua-dua bot tersebut telah diiring ke jeti Pusat Tahanan Vesel, Pulau Melayu Miri untuk siasatan lanjut oleh pegawai penyiasat.

Beliau turut memaklumkan, kes akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana disyaki tidak mempunyai permit kelulusan penggunaan kru bukan warganegara dan juga buku
lesen perikanan yang dikemukakan telah tamat tempoh.

“Kesemua kru kedua-dua bot tersebut telah menjalani ujian saringan Covid-19 oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebagai langkah berjaga-jaga. Terima kasih diucapkan pada pihak KKM di atas perkhidmatan dan kerjasama yang telah diberikan kepada pihak kami”, tambahnya lagi.

Maritim Malaysia akan terus meningkatkan penguatkuasaan undang-undang Maritim di perairan Negara. Kerjasama daripada masyarakat terutamanya komuniti maritim dalam memberikan maklumat amat dialu-alukan bagi membantu Maritim Malaysia dalam membanteras jenayah di laut.

Sebarang aduan, maklum balas serta kecemasan di laut, orang awam bolehlah menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Miri di talian 085-418204 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Negeri Sarawak di talian 082-432544.

2 bot yang telah ditahan APMM Zon Maritim Miri

kru kedua-dua bot menjalani ujian saringan Covid-19 oleh KKM.