KUCHING: Seramai 17 lagi individu diarahkan hadir ke IPD Kuching atas kesalahan ingkar pematuhan SOP yang ditetapkan kerajaan ketika berada di tempat awam, malam semalam.

Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Awang Din Awang Gani memberitahu kesemua individu terbabit ditangkap hasil pemeriksaan penguat kuasa di kawasan Bangunan Yung Phin Jalan Tan Sri Datuk Wiliam Tan, pusat hiburan Jalan Setia Raja, dan sebuah kedai makan di Jalan Setia Raja.

Menurutnya, aktiviti pemantauan di ketiga-tiga lokasi berkenaan dijalankan sepasukan polis dari Balai Polis Sekama, pasukan khas IPD dan Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kuching.

“Kita menahan sembilan individu didapati tidak mengamalkan penjarakan fizikal ketika menjamu selera di premis tersebut.

“Enam lagi individu turut dikompaun di sebuah bistro atas kesalahan tidak mematuhi penjarakan fizikal ketika sedang berhibur.

“Selain itu, dua individu lelaki tempatan juga dikesan oleh pasukan pemantau tidak memakai pelitup muka ketika sedang menjalankan kerja ubah suai di sebuah bangunan,” jelasnya dalam satu kenyataan semalam.

Tambahnya, kesemua suspek yang ditahan merupakan 12 lelaki dan lima wanita warga tempatan dikenakan tindakan kompaun RM1,000 kerana tidak mematuhi SOP di bawah Peraturan 3, Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPPB) Langkahlangkah Di Dalam Kawalan Tempatan Jangkitan) 2020.

Awang Din turut mendedahkan masih ada orang awam leka terhadap peraturan SOP Covid-19 meskipun hampir setiap hari amaran terhadap pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dihebahkan di media masa.

Dengan kes terbaharu Covid-19 yang dilaporkan di sekitar Kuching, beliau menggesa masyarakat untuk berganding bahu dan berusaha memutuskan rantaian penularan wabak berkenaan.