SIMUNJAN: Kerajaan sentiasa mengambil berat terhadap golongan kurang bernasib baik tanpa mengira usia dan latar belakang.

Malah, bantuan tidak pernah tercicir bagi memastikan golongan terbabit dapat menikmati kehidupan selesa seperti orang lain.

Demikian jelas Adun Simunjan, Awla Dris ketika berucap pada Program Ziarah, Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas) di Rumah Panjang Kampung Sungai Lingkau, Simunjan.

“Seperti yang sering dijelaskan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, golongan kurang berkemampuan tidak pernah diabaikan.

“Nasib mereka sentiasa diberi perhatian dan dibantu,” ujar Awla.

Turut serta dalam program tersebut ialah Menteri Pelancongan Seni Dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri merangkap Ahli Parlimen P. 200 Batang Sadong, Pegawai Daerah Simunjan, Abdul Khalid Manap serta ketua-ketua masyarakat.

Menurut Awla, rakyat Sarawak seharusnya bersyukur kerana Kerajaan Sarawak sentiasa memastikan kesejahteraan masyarakat pelbagai kaum.

Awla yakin penganjuran program berkenaan mampu merapatkan lagi silaturahim semua pihak terutama masyarakat setempat.