KUCHING: Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi meningkatkan kerjasama dengan Kerajaan Sarawak untuk menyelesaikan isu-isu berbangkit bagi memastikan kelangsungan sektor agrikomoditi di Sarawak seperti sawit, getah, kayu-kayan, koko, lada, sagu dan kenaf.

Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Willie Mongin berkata (gambar), antaranya isu pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO), pelaksanaan program Biodiesel B20: Sektor Pengangku-tan, Insentif Pengeluaran Getah (IPG) dan potensi penanaman lada.

Menurutnya, sehingga 31 Julai lalu, seramai 17,785 Pekebun Kecil Persendirian (PKP) dengan keluasan tanah 99,354.46 hektar dalam 34 Kelompok Minyak Sawit (SPOC) telah memperoleh pensijilan MSPO.

Namun katanya, pencapaian mandatori MSPO di Sarawak masih rendah apabila hanya 21,606 PKP dengan tanah seluas 129,783.34 hektar masih belum mendapat pensijilan MSPO.

“Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) mendapati peratusan pensijilan MSPO dalam kalangan PKP masih rendah, antaranya kelompok Q8 (Pantu, Bukit Begunan, Lingga, Simanggang), Q22 (Marudi) dan Q30 (Sebauh).

“Bagi mengukuhkan lagi pensijilan MSPO, surat amaran mandatori MSPO akan mula diedarkan kepada pemegang lesen SH (pekebun kecil) yang masih belum mendaftar kerana pensijilan itu diwajibkan bermula 1 Januari 2021,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pemodenan Pertanian,

Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Datuk Amar Douglas Uggah Embas di pejabatnya, Wisma Bapa Malaysia, di sini semalam.

Willie menambah, untuk se-makan semula piawaian MSPO yang sedang dilaksanakan, penanaman di kawasan Zon Penampan Sungai (Riparian Zone) dan di cerun melebihi 25 darjah bercanggah dengan konsep Nilai Pemuliharaan Tinggi (HCV) yang akan dimasukkan dalam piawaian pensijilan MSPO.

Sehubungan itu katanya, bagi mengelak penarikan balik pensijilan MSPO dalam kalangan PKP Sarawak, mereka akan diberikan peringatan tentang peraturan itu.

Sementara Willie berkata, Program Biodiesel B20: Sektor Pengangkutan (adunan 20 peratus biodiesel sawit dengan 80 peratus petroleum) akan mula dilaksanakan di Sarawak pada 1 September depan. “Pelaksanaan Program Biodiesel B20 di sektor pengangkutan berupaya mewujudkan pertambahan penggunaan CPO sebanyak 534,000 tan setahun kepada 1.06 juta tan setahun berbanding penggunaan sebanyak 534,000 tan Program Biodiesel B10 ketika ini,” katanya.

Selain itu beliau berkata, Lembaga Getah Malaysia (LGM) juga akan menambah baik dan memperluaskan kaedah tuntutan IPG khususnya bagi pekebun kecil yang tinggal di pedalaman berikutan kurang prasarana komunikasi di Sarawak.

Manakala katanya, Lembaga Lada Malaysia (LLM) akan turut mengalu-alukan mana-mana syarikat yang berminat untuk menceburi penanaman lada demi menggerakkan industri lada untuk lebih berdaya saing.

Menurutnya, ini kerana keluasan kawasan penanaman lada pada 2019 seluas 7,132 hektar dengan jumlah pengeluaran 33,164 tan diusahakan oleh pekebun kecil tempatan.

“Untuk itu, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi berharap dapat meningkatkan kerjasama dengan Kerajaan Sarawak dalam usaha membantu pekebun kecil meningkatkan pendapatan melalui penghasilan sawit yang berkualiti seterusnya melonjakkan lagi penjualan hasil komoditi negara,” katanya.