KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih Cahya Mata Sarawak Bhd bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2020 susut kepada RM16.7 juta daripada RM41.33 juta yang dicatatkan dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Pendapatan menurun kepada RM206.83 juta berbanding RM399.17 juta, kata kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Syarikat itu mengaitkan prestasinya kali ini dengan pendapatan dan sumbangan keuntungan daripada semua bahagian.

“Perniagaan teras tradisional kumpulan telah terjejas oleh perintah kawalan pergerakan (PKP),” katanya.

Kumpulan itu ketika bercakap mengenai prospek menjangkakan bahagian simen akan terus beroperasi di bawah tahap ketidaktentuan yang tinggi.

Sementara itu, sektor pembinaan dan bahagian perdagangan kuari serta pracampur diramal akan bertambah baik untuk baki tahun berkenaan.

Tempahan dalam tangan bahagian pembinaan dan penyelenggaraan jalan raya, tidak termasuk konsesi lebuh raya, berada pada RM1.20 bilion menjelang 30 Jun 2020.

Selain itu, syarikat menjangkakan pengurangan kadar dasar semalaman dan pengecualian duti setem bagi pemindahan hartanah serta perjanjian pinjaman yang diumumkan di bawah Bajet 2019 akan merangsang permintaan untuk hartanahnya di Samariang.– BERNAMA