KUCHING: Lelaki yang terlibat dalam kes penjualan dan pembelian organ manusia yang telah dibebaskan sebelum ini telah ditangkap semula oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kuching untuk siasatan kes pecah amanah yang berlaku pada tahun 2013.

Suspek berusia 48 tahun itu sebelum ini telah dibebaskan daripada reman telah ditangkap semula pada jam 11.00 pagi tadi.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail berkata, pada tahun 2013, suspek telah bekerja di Jabatan Insolvensi Sarawak dan telah disyaki melakukan penipuan.

“Suspek disyaki mengeluarkan baucar pembayaran ke atas beberapa orang yang tidak ada kaitan dengan Jabatan Insolvensi Sarawak melibatkan kerugian sebanyak RM 249,101.25.

“Kertas siasatan kes pecah amanah ini telah diedarkan kepada Timbalan Pendakwa Raya Sarawak pada 24 Ogos,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, Timbalan Pendakwa Raya telah memberi keputusan untuk menuduh suspek di bawah seksyen 409 Kanun Keseksaan (Pecah Amanah Jenayah Oleh Penjawat Awam) yang memperuntukan hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan tidak melebihi 20 tahun dan boleh dikenakan denda jika disabit kesalahan.

Aidi memberitahu suspek akan dituduh pada 27 Ogos ini di Mahkamah Sesyen Kuching.

Mengenai kes penjualan dan pembelian organ manusia, beliau menjelaskan hasil siasatan terperinci yang dijalankan selama 12 hari mendapati dakwaan suspek terlibat dalam menjual dan membeli organ manusia adalah tidak benar.

“Tidak ada sebarang keterangan yang ditemui yang menunjukkan bahawa suspek terlibat dalam kegiatan ini.

“Siasatan juga mendapati bahawa suspek telah memberi dakwaan-dakwaan palsu semasa temuduga dengan wartawan The Sun,” katanya.

Tambah Aidi, pihak polis juga telah menghubungi wartawan The Sun dan mendapatkan kerjasama sepenuhnya daripada beliau.

Terdahulu, suspek telah menyerah diri pada 13 Ogos lalu di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching dan ditahan reman selama tujuh hari dan disambung reman sehingga 26 Ogos.

Suspek disiasat dibawah Seksyen 15 Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007.