KUCHING: Masjid dan surau tidak ketinggalan untuk menggunakan platform digital yang diperkenalkan oleh Kerajaan Sarawak dalam membangunkan ekonomi digital di negeri ini.

Menteri Muda Hal Ehwal Islam dan DBKU, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, ekonomi digital merupakan satu lonjakan untuk Sarawak membangun dalam pelbagai aspek dengan lebih cepat.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Penyerahan Sumbangan Majlis Islam Sarawak Kepada Masjid dan Surau Sarawak Tahun 2020, di Persada Majma’ Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah, di sini semalam.

Sehubungan itu katanya, pengurusan masjid dan surau digalakkan menggunakan ruang yang ada seperti aktiviti latihan ekonomi atau aktiviti yang boleh meningkatkan pasaran produk tempatan dan sebagainya.

“Mereka boleh menggunakan ruang dengan menggunakan kemudahan sistem atas talian yang disediakan,” katanya sambil menambah, bagi pelajar sekolah, mereka boleh menggunakan ruang di masjid untuk belajar.

Jelasnya, semasa beliau mengadakan lawatan di Singapura, pengurusan masjid dan surau serta agensi Islam dapat membangunkan masyarakat Islam menerusi kemudahan yang disediakan di masjid, negara tersebut.

“Melalui kaedah ini, pelbagai aktiviti dapat dijalankan dengan baik dalam kalangan masyarakat di negeri ini,” katanya.

Pada majlis yang sama Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak Datuk Misnu Taha menyampaikan cek sumbangan Majlis Islam Sarawak berjumlah RM1.5 juta kepada Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi.

Sementara, seramai 95 wakil masjid dan surau di Bahagian Kuching menerima sumbangan daripada Majlis Islam Sarawak yang berjumlah RM1,000 untuk setiap masjid dan surau.