SIBU: Seorang lelaki berusia 41 tahun ditahan polis semalam kerana disyaki terlibat dalam tiga kes samun dalam sehari pada Jumaat lalu. Suspek ditangkap di hadapan sebuah rumah di Jalan Kampung Hilir di sini sekitar jam 1.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Stanley Jonathan Ringgit ketika mengesahkan kejadian berkata, ketika melakukan jenayah itu suspek menyamar sebagai polis dengan memakai ves polis.

“Pada kes pertama iaitu pada 21 Ogos lalu, suspek telah melarikan sebuah motosikal di sebuah rumah di Jalan Hose di sini pada jam 9.30 pagi,” ujarnya dalam satu kenyataan.

“Suspek memperkenalkan dirinya sebagai polis dan menuju ke arah motosikal pengadu.

Kebetulan kunci berada di motosikal tersebut dan terus menaiki motosikal jenis Modenas Kriss.

“Suspek menyatakan beliau adalah ‘polis’ dan mahu memeriksa motosikal tersebut dan meminta pengadu ke balai polis untuk menuntut motosikal.

“Mangsa tidak sempat mengejar kerana kejadian amat pantas. Kemudian mangsa ke Balai Polis Sentral Sibu dan menyedari ditipu dan telah membuat laporan polis berhubung kejadian,” katanya.

Kes kedua, Stanley memberitahu, sekitar jam 11 pagi pada hari yang sama (21 Ogos) suspek telah pergi ke sebuah kedai runcit di Jalan Kampung Hilir dan memperkenalkan dirinya sebagai polis kepada pembantu kedai lelaki di kedai berkenaan.

Beliau berkata, suspek menuju ke arah mangsa dan meminta mangsa mengeluarkan telefon bimbit miliknya dan menyerahkan kepadanya.

“Suspek turut memperkenalkan dirinya sebagai ‘Hairul’ dan kemudian meminta mangsa memanggil tauke kedai untuk memberi wang RM1,000 dan mengambil semula telefon bimbit tersebut di Balai.

“Mangsa kemudian telah menghubungi pemilik kedai dan memaklumkan perkara tersebut. Mangsa telah ke Balai Polis Sentral Sibu dan menyedari telah ditipu dan telah membuat laporan polis berhubung kejadian,” ujar Stanley.

Selepas, menurut Stanley lagi, suspek pada jam 1.30 petang telah menyamun seorang lelaki ketika menunggu bas di hadapan sebuah hospital swasta di Jalan Oya di sini.

“Suspek memperkenalkan diri sebagai polis dan memegang vest Polis di tangan dan datang ke arah mangsa sambil memeriksa telefon bimbit mangsa sekiranya terdapat aktiviti perjudian.

“Mangsa telah menyerahkan telefon bimbit kepadanya dan meminta mangsa untuk ke Balai Polis bagi mendapatkan telefon bimbit tersebut. “Mangsa telah ke Balai Polis Sentral Sibu dan menyedari telah ditipu dan membuat laporan polis berhubung kejadian,” katanya lagi.

Menurut Stanley lagi, siasatan awal mendapati ketiga-tiga mangsa telah disoal siasat lanjut oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sibu mendapati ketiga-tiga kejadian dilakukan oleh suspek yang sama.

“Pemeriksaan melalui kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian kes kedua mendapati suspek dipercayai menggunakan motosikal yang dicuri, namun nombor pendaftaran telah diubah menggunakan nombor pendaftaran palsu (QSY 674).

“Pemilik berdaftar masih dalam proses dikesan. Pemilik motosikal iaitu mangsa kes pertama mengecam motosikal yang digunakan suspek pada kejadian kes kedua dan ketiga adalah milik mangsa,” jelas Stanley.

“Suspek dimasukkan ke dalam lokap untuk tindakan lanjut dan akan direman. Kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan,” kata Stanley.