KANOWIT: Adun Ngemah Alexander Vincent sentiasa memantau rapi setiap projek RTP ketika mengadakan program turun padang di empat kawasannya di sini.

Kawasan tersebut ialah Skim Penempatan Semula Nanga Ngungun, Rumah Igang di Nanga Selaut, Rumah Baginda Nanga Selaut dan Rumah Nyalong di Nanga Baloh. “Ini merupakan rutin tanggungjawab saya sebagai wakil rakyat di Dun Ngemah.

Bukan kerana pilihan raya sudah dekat, memang rutin saya. “Memandangkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lalu saya jarang ke kawasan saya. “Namun, sekarang kita berada dalam tempoh PKP Pemulihan… jadi saya terus menyambung tanggungjawab saya,” katanya di sini, kelmarin.

Alexander berkata, beliau juga akan memastikan setiap RTP yang telah diluluskan sebelum ini dijalankan dengan sebaik mungkin dan memastikan ia siap mengikut jadual.

Sementara itu, ketika berucap pada program turun padangnya itu, beliau meminta rakyat setempat khususnya di Dun Ngemah memberi sokongan padu kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada pilihan raya akan datang.

Katanya, Dun Ngemah telah diperuntukkan RTP yang tidak kurang banyaknya dan kini banyak sudah siap dan sedang dalam pelaksanaan.

“Saya akan memastikan keperluan dan kepentingan anda dalam memperolehi RTP ini diutamakan. Setiap rumah panjang tetap ada, begitu juga projek lain yang berkaitan.

“Usah risau kerana GPS di bawah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg amat prihatin dengan pembangunan luar bandar,” tegasnya lagi.

Katanya program turun padang adalah untuk mendekati masyarakat setempat dan mengenal pasti keperluan penduduknya. Alexander turut menghulurkan derma kepada seorang warga tua kelainan upaya (OKU).