SIBU: Pembukaan gudang borong Red Bundle akan merancakkan perniagaan barangan terpakai tempatan di Sarawak.

Pengusaha Red Bundle, Ismandi Labot berkata, gudang borong di Sibu itu bertujuan untuk menggalakkan lebih ramai usahawan baharu berkecimpung dalam perniagaan bundle.

“Sudah tiba masanya Red Bundle mengorak langkah dengan membuka peluang perniagaan kepada usahawan kecil di negeri ini.

“Ia sekali gus mampu mengembangkan perniagaan kepada golongan usahawan kecil yang baharu, serta yang telah menjalankan perniagaan ini,” katanya.

“Ramai individu yang menyimpan cita-cita untuk menjadi peniaga, tetapi tidak berani untuk memulakannya kerana modal yang besar dan risiko tinggi.

“Tetapi dengan perniagaan bundle, sesiapa sahaja boleh memulakan perniagaan dengan hanya bermodalkan ratusan ringgit, asalkan pandai mengira dan risikonya amat rendah.

“Justeru, dengan pembukaan gudang borong Red Bundle di Jalan Oya dekat Jalan Fookui Sibu itu, maka ia membuka peluang kepada para peniaga bundle di seluruh Sarawak untuk mendapatkan stok yang berkualiti dengan pelbagai gred dan harga yang berbaloi,” ujarnya.

Beliau berkata, ia menyediakan pilihan guni bundle dari Korea Selatan, Jepun, Amerika Syarikat, Australia bagi barangan seperti baju T, seluar, pakaian sukan, pakaian kanak-kanak, permainan kanak-kanak dan banyak lagi.

“Terdapat pilihan guni bundle seberat 100 kilogram (kg) dan 45kg disediakan khusus kepada peniaga baharu,” jelasnya.

Ismandi berkata, sebagai peniaga bundle berpengalaman, beliau memahami kesukaran peniaga bundle di negeri ini untuk mendapatkan stok berkualiti.

“Mereka terpaksa mengambil bekalan stok dari Semenanjung Malaysia, dan ia memakan masa yang agak lama untuk sesuatu tempahan.

“Di samping itu, peniaga kecil juga terpaksa menanggung kos penghantaran yang tinggi ke Sarawak dan menjejaskan keuntungan mereka,” tegasnya.

Tambah Ismandi, inisiatif mewujudkan gudang borong Red Bundle ini adalah atas kerjasama dengan pembekal bundle terbesar di Malaysia, JBR Bundle dan D’Bundle Mania.

Ismandi yang merupakan anak jati Kampung Stumbin, Sri Aman itu kini mempunyai lima cawangan Red Bundle di seluruh Sarawak, dan terkini sebuah gudang borong telah dibuka bagi membantu usahawan baharu.

Bagi mereka yang berminat boleh datang sendiri ke Red Bundle Warehouse di Jalan Oya dekat Jalan Fookui Sibu dan untuk sebarang pertanyaan hubungi Ismandi di talian (018-987 9988).

Keadaan dalam gudang borong Red Bundle