BINTULU: Kerajaan bakal membina rumah mampu milik bagi merealisasikan impian golongan B40 memiliki kediaman sendiri, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Jelas beliau, wujud rintihan dan permintaan golongan itu ekoran harga rumah dibina oleh pemaju swasta terlalu mahal.

“Justeru, pembinaan rumah mampu milik ini juga memudahkan golongan muda memiliki aset sendiri pada harga tidak melebihi RM300,000 seunit,” katanya pada Majlis Pecah Tanah Skim Perumahan Mampu Milik Sri Pertiwi di Tanjung Kidurong, di sini semalam.

Abang Johari menambah, bagi menggalakkan golongan sasar memiliki kediaman sendiri, Kementerian Perumahan memperkenalkan skim pinjaman perumahan baharu dikenali sebagai Skim Pinjaman Perumahan Mutiara.

“Melalui inisiatif yang diperkenalkan ini, pembeli rumah boleh memanjangkan tempoh pembayaran pinjaman perumahan daripada 15 kepada 25 tahun pada kadar bayaran bulanan yang paling rendah,” katanya.

Skim Perumahan Mampu Milik Sri Pertiwi Tanjung Kidurong menyediakan 402 unit rumah teres satu tingkat di kawasan seluas 30.50 ekar.

Skim perumahan ini merangkumi 366 unit rumah Sri Pertiwi dengan keluasan lantai 910.00 kaki persegi dengan tiga bilik tidur dan dua bilik air.

Manakala 36 unit lagi merupakan rumah kategori Spektra Medium berkeluasan 755 kaki persegi dengan tiga bilik mandi dan satu bilik air.

Anggaran harga untuk rumah Sri Pertiwi ditetapkan tidak melebihi RM270,000 seunit bagi lot tengah dan tidak melebihi RM295,000 bagi lot tepi.

Kumpulan sasar ditetapkan merupakan isi rumah yang berpendapatan kasar RM4,000 hingga RM10,000 sebulan dan tidak memiliki hartanah di Bahagian Bintulu.

Manakala bagi kategori Spekta Medium, keutamaan diberi kepada isu rumah berpendapatan kasar RM5,000 ke bawah, tidak mempunyai hartanah di Bahagian Bintulu.

Rumah dan dijual pada harga RM135,000 hingga RM168,000 seunit.

Projek ini akan dilaksana bersama Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) dengan Syarikat Johabaru dengan pembahagian usaha sama sebanyak 55 peratus BDA dan dan 44 peratus Johabaru.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Dr Sim Kui Hian, Menteri Di Jabatan Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman), Datuk Talib Zulpilip, Adun Samalaju, Majang Renggi, timbalan pengerusi BDA Haidar Khan Asghar Khan dan Pengurus Besar BDA, Rodziah Morshidi antara yang hadir.