LIMBANG: Kesenian serta identiti masyarakat Melayu Kedayan perlu dipertahankan melalui penganjuran pelbagai program dan pertandingan.

Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, kesenian bangsa berkenaan mengandungi kesenian Islam yang membolehkan kita untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Ujarnya, jika kesenian itu tidak terus dipelihara, nescaya ia akan pupus ditelan zaman. “Seperti pertandingan hadrah ini, ia merupakan sebahagian kesenian Islam yang kebiasaannya diadakan pada majlis perkahwinan tetapi sekarang ia sudah berkurangan.

“Ia mewakili indentiti masyarakat Melayu Kedayan, kalau Iban dengan tarian Ngajatnya dan masyarakat Cina dengan Tarian Singanya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menangguhkan Pertandingan Hadrah 2020 Sempena Festival Kesenian Islam 1442H/2020M Peringkat Daerah Limbang di Dewan Kampung Belading Limbang, kelmarin.

Adun Bukit Kota itu berkata, objektif penganjuran Festival Kesenian Islam di Limbang adalah untuk memastikan kesenian Islam tidak pupus ditelan zaman. “Ini sebabnya kita menghidupkan kesenian ini supaya tidak hilang ditelan zaman.

“Alhamdulillah masih ada peminat-peminatnya, sebab itulah kita kena perbanyakkan dan pertingkatkan dari semasa ke semasa,” tambahnya.

Pada majlis itu, Dr Abdul Rahman memberikan sumbangan RM2,000 masingmaisng kepada lima pasukan yang menyertai pertandingan tersebut.