MUKA baharu. Itu kelaziman setiap kali pilihan raya.

Dan pada pilihan raya negeri kali ini, sekali lagi ia akan berlaku.

Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg membuat kenyataan jelas berhubung perkara itu pada Sabtu lalu.

Akan ada muka baharu ditampilkan oleh GPS. Ia susulan ada muka lama yang sudah menyatakan hasrat untuk mengundurkan diri.

Ia merupakan tradisi dalam politik. Parti politik memerlukan orang baharu untuk menggantikan orang lama.

Dan untuk mewarisi kepimpinan parti, serta memastikan ia kekal dan terus relevan.

Sebelum ini, Adun Kalaka Datuk Abdul Wahab Aziz telah menyatakan secara terbuka bahawa beliau tidak akan mempertahankan jawatannya.

Beberapa Adun lain termasuk yang bertaraf menteri dikhabarkan telah menyuarakan hasrat yang sama.

Mereka dikatakan telah bercakap mengenainya dan dijangka akan membuat pengumuman tidak lama lagi.

Untuk rekod, pada Pilihan Raya Umum yang lalu, GPS atau ketika itu Barisan Nasional di Sarawak, menampilkan 15 muka baharu daripada 31 kerusi yang ditandingi.

Daripada jumlah itu, hanya enam calon menang, manakala yang kalah termasuk dua calon yang berstatus Adun dan anggota kabinet.

Pada Pilihan Raya Negeri 2016, seramai 33 calon muka baharu diperkenalkan untuk 82 kerusi.

Ini termasuk mereka yang bertanding di 11 kerusi baharu selepas berlaku persempadanan semula.

Daripada jumlah itu, sejumlah 26 calon muka baharu tersebut kini bergelar Yang Berhormat.

Pada 2011, sebanyak 17 muka baharu membawa bendera BN, 10 daripada mereka menang.

Dan ada antara mereka kini diangkat sebagai menteri muda dalam Kabinet Negeri.

Selepas pengumuman oleh Abang Johari di Kampung Bruit itu, penganalisis dan pencacai politik mula membuat seribu satu tekaan.

Banyak muka lama dikatakan harus dan layak berhenti, malah digugurkan jika masih degil, terutama mereka yang sudah melepasi dan menghampiri usia 70 tahun.

Media sosial umpama ‘perang besar’ dalam membahaskan isu ini.

Tidak kurang yang mahukan semua kekosongan kelak diisi dengan muka baharu daripada kalangan orang muda.

Ketua Menteri perlu bersikap jujur dan bersifat objektif dalam memilih calon-calon ini.

Tiada jaminan bahawa jika dipertaruhkan orang muda, semua kerusi yang bakal dilepaskan itu akan dimenangi kembali.

Bahkan telah terbukti, beberapa calon muda yang ditampilkan pada pilihan raya yang lalu berhadapan situasi sukar ketika bergelar YB.

Mereka bergelut dan terkial-kial menangani permintaan rakyat yang pelbagai, serta perlu melayani serangan dan tohmahan bertali arus.

Wakil rakyat perlu mendampingi rakyat setiap masa dan melayani kehendak mereka.

Alasan untuk menutup telefon dan mencari privasi tidak akan diterima pada era moden ini.

Harus diingat, pemilih moden semakin bijak dan cerewet. Mereka sentiasa mahu hajat dan kehendak mereka dipatuhi.

Kerana itu, Abang Johari perlu berhati-hati mengangkat calon. Pilih mereka yang benar-benar layak dan bersedia menjadi wakil rakyat.

Mereka yang terbukti mampu menabur bakti dan budi, dekat kepada rakyat dan mampu mendampingi mereka.

Usah pandang kepada kedudukan dalam politik, mahupun jumlah gulungan ijazah yang dimiliki.

Belum ada jaminan merekalah yang terbaik. Sebaliknya, kemampuan mereka menyelami dan bertindak atas keperluan rakyat, memahami proses pentadbiran kerajaan dan tentunya ada latar pendidikan yang sesuai.

Malah penting juga untuk memastikan mereka daripada golongan yang kuat bekerja dan bukan sekadar bijak dan lantang bercakap.

Elemen lain, calon yang dipilih hendaklah matang, dan elak memilih calon yang berlagak ‘samseng’, cakap besar atau mereka yang ada ciri-ciri warlord.

Ketika ini, ramai yang melobi untuk menjadi calon. Meminta nama mereka dinaikkan di mata Ketua Menteri. Macam-macam cara dan macam-macam taktik digunakan.

Ada yang mula turun padang, kononnya atas arahan Abang Johari. Tidak kurang yang mula menayangkan seribu kebaikan dan kebajikan, selain berdrama.

Menjadi kelaziman Tun Abdul Taib Mahmud ketika mengetuai jentera parti dahulu untuk menguji calon-calon yang berkebolehan.

Mereka akan diminta turun ke lapangan untuk beberapa waktu dan dinilai sokongan rakyat.

Ketika inilah pemerhati dalam parti dan luar memberi maklum balas.

Banyak pihak mula tertanya-tanya bagaimana Abang Johari menilai bakal calon.

Dan siapa yang telah disuruh ‘berjalan’, diuji di bawah. Pastinya beliau mempunyai caranya sendiri, dan beliau akan memerhati mereka yang betul-betul boleh diketengahkan.

Dan mampu menang dan mesra rakyat. Paling kurang, daripada 82 calon yang bakal bertanding, 30 peratus merupakan muka baharu.

Dan sebaiknya mereka dipilih mewakili pelbagai latar belakang, bukan sekadar diangkat daripada parti.

Malah perlu diganding calon muka baharu ini pada usia-usia tertentu dan berbeza jantina. Jika calon muda, biarlah yang betul-betul trampil, berwibawa dan berkebolehan.

Jika mereka calon yang berusia, pastikan calon tersebut betul-betul berisi, mantap dan mampu bekerja.

Kerana menjadi wakil rakyat, bukan jawatan untuk mengumpul wang dan harta. Sesungguhnya kita perlu belajar dari sejarah PRU-14.

• Rudi Affendi Khalik merupakan Ketua Divisyen Berita dan Ehwal Semasa, Sarawak Media Group Sdn Bhd. Beliau merupakan mantan Ketua Pegawai Operasi Suara Sarawak.