KUCHING: Sarawak Energy membuat pelaburan besar untuk meningkatkan perhubungan dan sistem bekalan elektrik secara berterusan di kawasan utara, termasuk bandar kedua terbesar di Sarawak, Miri.

Syarikat tersebut menfokuskan projek penyampaian untuk menambah lebih banyak bekalan serta menambah baik kabel tambahan bagi memperluaskan rangkaian atau saluran bekalan.

Ia sejajar dengan perancangan strategik Kementerian Utiliti untuk kemajuan projek dan usaha pengukuhan serta memodenkan sistem bekalan elektrik di wilayah utara.

Kerja-kerja pengukuhkan akan memenuhi permintaan dan meningkatkan bekalan berterusan kerana kawasan Miri hingga Lawas kini berkembang pesat dengan bandar baharu, perniagaan dan kawasan perumahan.

Menteri Utiliti Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom berkata, meskipun kelewatan disebabkan pandemik global Covid-19, kementerian tetap meneruskan usaha untuk memodenkan sistem elektrik di kawasan bandar dan luar bandar di utara Sarawak.

“Pembangunan dan migrasi bandar-luar bandar telah menambah permintaan yang memerlukan penambahbaikan untuk sistem bekalan. Kementerian saya dan Sarawak Energy sedang mempercepatkan kerja untuk menambah sistem elektrik moden di kawasan utara.

“Projek-projek penting untuk Miri, Limbang dan Lawas telah siap dan usaha ini akan diteruskan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Energy, Datuk Sharbini Suhaili berkata, ia adalah usaha untuk memastikan liputan elektrik sepenuhnya di wilayah utara.

Katanya, Sarawak Energy mengusahakan projek transmisi untuk menghubungkan Limbang dan Lawas ke grid elektrik utama, serta meningkatkan sistem elektrik di Miri, Limbang dan Lawas.

“Ia melibatkan infrastruktur penyampaian baharu.

Kita sedang membina pencawang penyampaian, memasang peralatan dan memasang kabel tambahan untuk bekalan elektrik berterusan di kawasn utara.

“Kerja-kerja pengukuhan ini dilaksanakan secara berfasa dan kita akan meneruskannya bagi memastikan pelanggan mengikuti perkembangan projek,” katanya.

Beliau turut memberi jaminan bahawa terdapat langkah-langkah yang diambil untuk meminimumkan gangguan dan memastikan pemulihan lebih cepat apabila bekalan elektrik terputus.

“Ketika projek ini dijalankan, kami telah melakukan tindakan kecemasan dengan pasukan yang berdedikasi untuk mengawal kelancaran sistem bekalan elektrik.

Pasukan bersedia untuk memulihkan bekalan dengan selamat dalam masa yang singkat.

Kami mengucapkan terima kasih kepada pelanggan di Miri dan wilayah utara kerana kesabaran mereka,” ujarnya.

PENAMBAHBAIKAN… saluran bekalan untuk meningkatkan bekalan elektrik.