LUNDU: Program Tautan Kasih N3 Tanjong Datu yang terhenti akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Covid-19 diteruskan di 12 lagi Ranting Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) N3 Tanjong Datu semalam.

Program yang bermula jam 9.00 pagi itu bermula di Dewan Kampung Stunggang Melayu Lama yang menggabungkan empat ranting iaitu Ranting Kampung Stunggang Melayu Lama, Stunggang Melayu Baru, Semunin Jaya dan Dagang.

Program diteruskan ke Dewan Kampung Gerunggang pada jam 2.00 petang yang menggabungkan tiga ranting Kampung Gerunggang, Klaoh dan Stunggang Dayak.

Program berakhir di Dewan Serbaguna Mahligai Gading Lundu jam 11.00 malam yang menggabungkan lima ranting iaitu Ranting Sileng Melayu, Sileng Dayak, Bengang, Sg Lundu dan Seketi.

Menariknya satu ranting baharu ditubuhkan iaitu Ranting Kampung Kedaong. Borang keahlian di serahkan kepada Setiausaha Cawangan PBB N3 Tanjong Datu, KR Abdul Razak Abdul Wahab.

Ketua Pergerakan Pemuda PBB N3 Tanjong Datu yang mewakili Adun N3 Tanjong Datu, Azizul Annuar Adenan dalam ucapannya menyeru agar ahli PBB menambah keahlian baharu untuk golongan belia dan beliawanis dan mendaftarkan mereka dengan SPR kerana masa depan negara di tangan mereka.

Di samping itu, beliau juga menyeru agar semua menghargai pembangunan yang telah dilakukan sekarang.

“Selama 22 bulan dengan keadaan politik yang terumbang-ambing banyak mengajar tentang perlunya keputusan cemerlang PRN-12 agar pembangunan dapat diteruskan, di samping menunjukkan sokongan tidak berbelah-bagi kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg,” kata Azizul.

Hadir sama ialah Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada Ketua Menteri Sarawak, Helmi Hazemi, Naib Ketua Cawangan PBB N3 Tanjong Datu, Pemanca Benjamin Gersit Jais, Setiausaha Cawangan, KR Abdul Razak Abdul Wahab, Ketua Pergerakan Wanita, KR Fatimah Abdullah dan AJK Ranting PBB N3 Tanjong Datu.