SERIAN: Sarawak merancang mengambil siswazah yang tidak bekerja sebagai guru sandaran bagi mengatasi masalah kekurangan guru di negeri ini.

Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Datuk Seri Michael Manyin Jawong berkata, perkara itu kini dalam peringkat rundingan dengan Kementerian Pendidikan.

“Jabatan Pendidikan ketika ini sedang berunding dengan Kementerian Pendidikan dan kalau dipersetujui,

kemudian mereka akan mula merekrut guru sandaran.

“Guru-guru sandaran ini juga akan dihantar mengambil Diploma Pendidikan selepas enam atau tujuh bulan mengajar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemu bual selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Baucar Bantuan Pakaian Seragam Sekolah Yayasan Sarawak 2020 bagi Adun Tebedu di SMK Tebakang di sini semalam.

Manyin yang juga Adun Tebedu berkata ketika ini, Sarawak mengalami kekurangan guru seramai 2,170 orang bagi sekolah rendah dan menengah.

Bagi mengatasi masalah itu, beliau berkata, Kementerian Pendidikan telah meminta kebenaran untuk menghantar lebih ramai guru dari Semenanjung.

Bagaimanapun, katanya pengambilan guru dari Semenanjung tidak dapat dilakukan disebabkan Sarawak mempunyai polisi nisbah guru iaitu 90 peratus dari Sarawak dan 10 peratus dari Semenanjung.

“Hari ini, kita mencapai 93 peratus guru berasal dari Sarawak dan tujuh peratus dari Semenanjung.

“Namun tidak sesuai untuk kita mengubah polisi yang dibuat Tok Nan (bekas Ketua Menteri Allaharham Pehin Sri Adenan Satem), maka kita kekal dengan keputusan tersebut,” katanya.

Selain itu Manyin berkata, cadangan juga dibuat untuk memberikan keutamaan kepada anak Sarawak memasuki Institut Pendidikan Guru (IPG) tetapi ia turut sukar dicapai disebabkan jumlah pemohon yang tidak mencukupi.

“Ini kerana untuk memasuki IPG, pemohon harus mendapat keputusan SPM sekurang-kurangnya 5A tetapi kebanyakan mereka yang mendapat 5A tidak memilih profesion guru sebagai pilihan sebaliknya memilih doktor, peguam, jurutera, akauntan dan bidang profesional lain,” katanya.

Pada masa sama beliau berkata, Sarawak juga kekurangan guru untuk mengajar subjek Bahasa Inggeris (BI), Matematik dan Sains.

Katanya sekitar 30 peratus guru terutama di sekolah rendah yang mengajar BI bukan guru BI, sebaliknya mereka merupakan guru subjek lain tetapi dipaksa mengajar BI. Beliau menambah, begitu juga dengan guru Matematik dan Sains, apabila 55 peratus daripada mereka merupakan guru subjek lain.

“Ini masalah besar yang akhirnya membawa kepada keputusan pelajar yang tidak baik,” katanya.