KUCHING: Kelewatan pemberian elaun khas Covid-19 untuk petugas barisan hadapan disebabkan senarai nama baharu daripada Jabatan Kesihatan Sarawak (JKNS) belum diserahkan kepada Kerajaan Negeri.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Dr Sim Kui Hian berkata, oleh itu, mereka masih belum menerima elaun khas ini sejak Mei lalu.

“Sepatutnya, senarai nama untuk petugas barisan hadapan ini adalah daripada JKNS dan ia akan dibayar oleh Kerajaan Sarawak menerusi senarai nama tersebut.

“Sekiranya kita membayar mengikut senarai nama yang lama, ada antara mereka yang layak, tetapi tidak dapat elaun tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan peralatan operasi dan kenderaan di Ibu Pejabat Bomba Sarawak, di Petra Jaya semalam.

Sehubungan itu, Dr Sim menafikan bahawa kelewatan pembayaran elaun khas Covid-19 ini bukan disebabkan oleh Kerajaan Sarawak kehabisan duit.

“Kerajaan akan menyalurkan elaun ini kepada petugas barisan hadapan setelah mendapat senarai nama baharu daripada JKNS,” ujarnya.

Pada masa yang sama katanya, Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Sarawak dan badan bukan kerajaan (NGO) perlu bekerjasama membantu rakyat yang memerlukan dan bukan hanya menuding jari.

“Usaha yang dilakukan ini akan memberi manfaat kepada rakyat sekiranya kerajaan atau NGO dapat membantu dengan sebaik mungkin,” tegasnya.