SERIAN: Pelajar bumiputera Sarawak perlu merebut Skim Bulsari BP40 yang ditawarkan Yayasan Sarawak untuk melanjutkan pengajian di tiga kampus universiti antarabangsa di bawah naungan Kerajaan Sarawak.

Ia melibatkan Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak di Kuching, Universiti Kolej Teknologi Sarawak (UCTS) di Sibu dan Universiti Curtin di Miri.

Pengarah Yayasan Sarawak Azmi Bujang berkata, 100 tempat disediakan di setiap universiti tersebut bagi menyediakan ruang kepada anak-anak bumiputera melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi global itu.

“Program ini untuk menggalakkan seramai mungkin anak bumiputera menuntut di universiti bertaraf dunia.

“Jadi kami tidak mahu anak-anak kita terlepas peluang ini terutama daripada golongan keluarga yang berpendapatan rendah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Baucar Bantuan Pakaian Seragam Sekolah Yayasan Sarawak 2020 bagi Adun Tebedu di SMK Tebakang di sini semalam.

Majlis telah disempurnakan oleh Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi yang juga Adun Tebedu Datuk Seri Michael Manyin Jawong dan turut dihadiri Adun Bukit Semuja John Ilus.

Menjelas lanjut beliau berkata, Skim Bulsari BP40 menawarkan yuran pengajian yang sama dengan universiti awam.

Tanpa skim itu, yuran pengajian di ketiga-tiga universiti berkenaan tinggi.

“Yuran sebenar di universiti ini tinggi.

Misalnya untuk kursus kejuruteraan boleh menelan sehingga RM100,000 tetapi di bawah skim ini, yuran boleh serendah RM40,000.

“Pelbagai kursus juga boleh diambil sama ada Perniagaan, Kejuruteraan, Teknologi dan sebagainya,” katanya.

Selain itu Azmi berkata, Yayasan Sarawak juga menyediakan hadiah galakan kepada pelajar bumiputera yang berjaya melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta.

Katanya, sebanyak RM1,000 diberikan kepada pelajar yang memasuki IPT awam dan swasta tempatan dan RM1,500 untuk yang layak ke IPT awam dan swasta di Semenanjung dan Sabah.

“Saya berharap pelajar yang layak memasuki IPT awam dan swasta memohon bantuan ini.

“Sasaran kami ialah pelajar B40 kerana kita tidak mahu anak-anak terutama daripada keluarga berpendapatan rendah terlepas peluang untuk memasuki institusi pengajian tinggi,” katanya.

Mengenai Baucar Bantuan Pakaian Seragam Sekolah bagi kawasan Tebedu Azmi berkata, seramai 610 pelajar layak menerimanya daripada 27 sekolah iaitu tiga sekolah menengah dan 24 sekolah rendah.

Justeru, beliau berharap baucar bernilai RM200 itu dapat digunakan sebaik-baiknya oleh ibu bapa untuk membeli pakaian seragam sekolah anak masing-masing.