SIAPA menduga, status Orang Kelainan Upaya (OKU) yang dimiliki Amin Abdul Rahman dengan klasifikasi ‘kerdil’ berupaya meletak kredibiliti di pentas luar biasa.

Anak jati kelahiran Kampung Telaga Air, Kuching itu mendapat kepercayaan mewakili Sarawak untuk temasya Sukan Para Sukma 2020 yang berlangsung di Johor Bahru pada tahun depan.

Meskipun, bakat anak kelima dari tujuh beradik itu yang lebih menyerlah reputasinya sebagai pelakon drama ‘Lanun’ pada 2019.

Namun, sentuhan dalam sukan badminton juga tidak siapa menduga lantas berupaya mencuri tumpuan pengemudi pasukan iaitu Suhailai Laiman.

“Ini kali pertama saya mewakili Sarawak dalam acara sukan. Memang apa-apa yang akan saya lalui suatu yang mencabar.

“Namun, saya yakin tekanan yang bakal ditempuhi kelak mampu diatasi sepenuhnya,” ujar Amin.

Bagi Amin, jauh di sudut hatinya untuk cuba mencipta nama dalam bidang sukan apatah lagi melihat keadaan dirinya yang tampak jauh kekurangan berbanding insan normal.

Bagaimanapun katanya, ia bukan halangan besar untuk dirinya mencipta nama selain cuba menghadiahkan sebarang pingat kepada Sarawak.

“Jika bidang lakonan saya mampu memberikan yang terbaik, sudah pasti penampilan dalam sukan badminton juga tidak menimbulkan sebarang masalah.

“Yang penting, saya perlu fokus selain komited terhadap tugas yang diberikan,” tambah beliau.

Bukan halangan terbesar

Sambil mengharap doa daripada seluruh masyarakat negeri ini agar pembabitannya dalam acara sukan dwitahunan negara itu kelak setanding pencapaian dirinya dalam bidang lakonan.

Harapan Baharu Amin memberitahu, jika di layar perak dirinya mampu menghadirkan kepuasan terhadap bidang tugas seperti diarahkan.

Begitu juga harapannya pada penampilan dalam sukan badminton, beliau semahunya melihat kejayaan dalam bidang baharu ini juga diselubungi pencapaian membanggakan.

Amin pada temasya dwitahunan negara itu kelak bersaing dalam dua acara kegemarannya iaitu kategori perseorangan dan beregu.

Menurut Amin, memang besar keinginan cuba memperoleh sebarang pingat walaupun sedar misi ke arah itu agak mencabar.

“Saya mencuba yang terbaik, jika melihat persediaan dilakukan dengan tempoh beberapa bulan yang ada, keyakinan memperoleh sebarang pingat tetap ada,” tegas Amin.

Ketua Jurulatih, Suhaili Laiman mengakui, tidak ramai insan istimewa mempunyai bakat luar biasa seperti Amin Abdul Rahman.

“Bermula dari bidang lakonan, kini dia mula fokus kepada sukan badminton. “Saya yakin, dia mampu menempa kejayaan mengambil kira pengalaman yang diraihnya ketika berlakon,” jelas Suhaili.