LAWAS: Kerjasama erat Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Sarawak membolehkan pelbagai pembangunan dilaksanakan di Lawas.

Timbalan Menteri II Pembangunan Luar Bandar Datuk Henry Sum Agong berkata, pelbagai pembangunan akan, sedang atau sudah dilaksanakan hasil hubungan baik Kerajaan Sarawak dengan Kerajaan Persekutuan.

Beliau memberi jaminan pembangunan di Daerah Lawas diteruskan pada masa akan datang.

“Pembangunan seperti kerjakerja pembinaan hospital baharu Lawas, pembinaan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) manakala jalan raya ke Ba’kelalan dan ke Bario yang menelan kos yang besar akan dibawa ke pengetahuan Perdana Menteri untuk pertimbangan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa mengadakan lawatan ke Kampung Long Sukang dan Kampung Punang Berayong baru-baru ini.

Henry yang juga Ahli Parlimen Lawas menjelaskan, kemudahan asas di beberapa kawasan yang belum mendapat akses yang sempurna akan terus diambil perhatian.

Menurutnya, masih terdapat beberapa kawasan khususnya di luar bandar Lawas belum mendapat akses kemudahan asas yang sempurna.

“Kemudahan asas seperti jalan raya, elektrik dan air bersih di sekitar kawasan Long Sukang akan diberikan perhatian melalui pelbagai peruntukan antaranya daripada Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA).

“Tepat pada masanya NRDA ditubuhkan bagi mempercepatkan pembangunan ke kawasan luar bandar di Daerah Lawas memandangkan kawasan ini masih jauh ketinggalan dari segi pembangunan,” katanya Semasa lawatan itu, beliau turut mengumumkan RM500,000 untuk menaik taraf jalan dari simpang jalan utama ke Kampung Long Sukang dan meluluskan RM20,000 untuk baik pulih dewan.

Turut diluluskan peruntukan RM500,000 bagi menaik taraf jalan besar ke Kampung Punang Berayung dan RM20,000 untuk keperluan baik pulih dewan.

Hadir sama Pegawai Daerah Lawas Ladin Atok; wakil Residen Bahagian Limbang Cherry Lyame; Pegawai Tadbir Sarawak Daerah Lawas Daraup Mail dan Penghulu Maripa Tagal.