KUCHING: Jawatankuasa masjid dan surau di negeri ini disarankan sentiasa menjalinkan hubungan rapat dengan wakil-wakil agensi Islam di daerah masing-masing.

Menteri Muda Hal Ehwal Islam dan DBKU, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, ini kerana, pelbagai aktiviti yang dilakukan di masjid akan lebih mudah kerana sentiasa mendapat sokongan padu agensi Islam.

“Sama ada di peringkat bahagian, daerah atau daerah kecil, pegawai dari agensi Islam akan memberi sokongan kepada masjid dan surau yang akan melaksanakan apa-apa program pembangunan masyarakat.

“Melalui kaedah ini, kita dapat membentuk pasukan yang mantap, sekali gus memudahkan usaha untuk memperkasakan Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan sumbangan Majlis Islam Sarawak kepada Masjid dan Surau Sarawak Tahun 2020, di Persada Majma’ Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah, di  sini kelmarin. Katanya, selain menunaikan ibadah solat, pengurusan masjid dan surau perlu memastikan institusi ibadah di negeri ini dapat berfungsi dalam pelbagai aspek.

“Jadikan institusi ibadah ini sebagai pusat yang dapat membangunkan masyarakat, serta memberi banyak manfaat.

“Oleh itu, sebelum ini sistem mukim masjid telah diperkenalkan bagi memastikan sesebuah masjid yang dikenali sebagai masjid mukim dan ada kariah surausurau, dapat berfungsi di bawah satu unit untuk membangunkan masyarakat sekeliling kampung dan taman perumahan,” katanya lagi.

Jelasnya, masjid mukim dapat menjalankan fungsi dengan baik seperti menjalankan pelbagai program untuk membangunkan masyarakat setempat.

“Misalnya aktiviti meningkatkan sosioekonomi, jadikan ruang masjid sebagai tempat pendidikan masyarakat dan sebagainya.

“Melalui aktiviti ini, ia secara tidak langsung dapat membangunkan masyarakat dalam pelbagai aspek kehidupan,” katanya.