MIRI: Kepercayaan antara satu sama lain merupakan tiang bagi rakyat Sarawak yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama, ke arah dasar pembangunan insklusif, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Tegasnya, contoh terbaik dasar tersebut ialah di Taman Tunku di Miri apabila pelbagai kaum dapat hidup harmoni meskipun berbeza agama.

“Taman Tunku mempunyai ciri-ciri Perdana Menteri Malaysia pertama, Allahyarham Tunku Abdul Rahman yang menjadi perintis perhubungan antara kaum serta membangunkan masyarakat Islam dan bukan Islam secara menyeluruh.

“Malah, Sarawak menjadi contoh kepada suasana harmoni sehingga Menteri Perpaduan datang melawat apabila terdapat kerjasama erat dalam kalangan masyarakat Islam dan bukan Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Pecah Tanah Pusat Komuniti Bersepadu di Taman Jelita Off Taman Tunku di sini semalam.

Terdahulu, Abang Johari melawat Gereja St. Barnabas dan tapak Masjid Baru di kawasan terbabit.

Abang Johari menambah, Kerajaan Sarawak juga telah mengenal pasti kawasan untuk dibangunkan sebagai perumahan mampu milik.

“Kita sentiasa melihat model baharu untuk melaksanakan pembangunan demi kesejahteraan rakyat.

Apabila negeri kita aman, banyak projek boleh dilaksanakan,” jelasnya.

Sementara itu, Adun Lambir Ripin Lamat berkata, sebanyak 6,500 isi rumah di Taman Tunku berdasarkan agihan bakul makanan pada awal pandemik Covid19.

“Malah, terdapat tiga sekolah di kawasan ini iaitu SK Temenggong Datuk Muib, SMK Taman Tunku dan SMK Riam yang dilengkapkan dengan dewan perhimpunan ditaja oleh Kerajaan Sarawak.

“Ini menyaksikan Taman Tunku dan Taman Jelita merupakan kawasan perumahan terbesar di Miri,” ujarnya.

Menteri Pengangkutan Datuk Lee Kim Shin dan Menteri Muda Pembangunan Pelabuhan dan Infrastruktur Datuk Julaihi Narawi turut hadir.