KUCHING: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menafikan pengendalian peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah Khas (UPSRx) dan Pentaksiran Tingkatan 3 Khas (PT3x) oleh pihaknya yang akan diadakan dalam talian pada September dan Oktober tahun ini.

KPM dalam satu kenyataan menegaskan, peperiksaan tersebut bukan di bawah kendalian Lembaga Peperiksaan dan tiada kaitan dengannya.

Ini kerana KPM mendapati sebuah portal telah menawarkan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah Khas (UPSRx) dan Pentaksiran Tingkatan 3 Khas (PT3x) yang akan diadakan dalam talian pada September dan Oktober tahun ini.

Justeru, KPM memandang serius perkara berkenaan kerana melanggar Akta Pendidikan 1996 (Akta 550).

“KPM telah mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap pihak terlibat.

“KPM menasihatkan agar orang ramai, terutama ibu bapa kepada murid Tahun 6 dan Tingkatan 3 merujuk portal rasmi KPM di http://www.moe.gov.my/ dan portal Lembaga Peperiksaan di http://lp.moe.gov.my/ bagi mendapatkan maklumat tepat dan sahih mengenai peperiksaan yang dilaksanakan oleh KPM,” ujarnya.

KPM pada 15 April lalu mengumumkan bahawa peperiksaan UPSR dan PT3 bagi tahun 2020 dibatalkan.